Oleh Siti Zarinah Sahib


Inspirasi sajak ringkas berjudul Mac 18 tulisan Margaret James yang berkisar mengenai keindahan musim bunga dan panas, memberi ilham kepada pereka terkenal Khoon Hooi menghasilkan koleksi terkini 2015 dengan gabungan pelbagai ele­men seperti warna dan motif burung Hummingbird serta bunga-bungaan yang penuh sifat keceriaannya.

Pada majlis pelancaran dan sambutan ulang tahun ke-14 sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur baru-baru ini di Balai Seni Lukis Negara, Khoon Hooi menyatakan puisi puitis ini amat menarik perhatiannya.

"Penggunaan perkataan jelas membayangkan keinginan seorang wanita yang berhasrat menikmati keindahan alam dan pada masa sama, mengenakan pakaian sesuai. Dia juga membayangkan emosinya yang gembira dan ceria," jelasnya.

Sinonim dengan warna alam, keindahan langit biru dan putih serta matahari yang terbit dan terbenam dengan rona kuning, hijau dan merah menjadi pilihan pereka ini menyerlahkan warna untuk koleksinya kali ini. Tambahan warna biru muda, merah jambu, jingga dan hitam menambah seri pada setiap himpunan yang dipersembahkan.

Apa yang membuatkan rekaan­nya diperkatakan apabila motif Hummingbird disulam teliti mewarnai helaian busana manakala pada bahagian hujung fabrik diperindahkan dengan perincian di leher, juga perhiasan mengambil inspirasi daripada sayap burung Hummingbird. ia menjadikan setiap himpunan tampil memikat dan ada kelas tersendiri.

Paling penting, pemilihan fabrik lembut seperti renda, kapas dan sifon menjadikan setiap potongan ada unsur kewanitaannya. Jelasnya, dia ingin bersederhana dalam menghasilkan rekaan kerana tidak mahu kelihatan terlalu berlebih-lebihan. Malah terdapat beberapa elemen terutama perincian yang dipadankan diambil daripada koleksi sebelum ini.

Antara yang menyerlah ialah gaun labuh, skirt dan blaus dipadankan jaket yang nampak kemas dan teliti jahitannya. Tambahan pada bahagian leher, sisi baju serta bahagian bawah menjadikan helaian yang dihasilkan mencuri tumpuan.

Bagi menambah seri pada fabrik polos, Khoon Hooi menggunakan aksesori tambahan berasaskan manik dan mutiara pada baju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:00 AM