KOLEKSI jubah pelbagai potongan sesuai semua peringkat umur, selain praktikal dipakai  kasual atau formal.
KOLEKSI jubah pelbagai potongan sesuai semua peringkat umur, selain praktikal dipakai kasual atau formal.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Wanita kini tidak hanya memilih kepada satu rekaan fesyen sebaliknya cenderung mencuba pelbagai jenis potongan yang mampu menonjolkan personaliti diri mereka.

Bagi yang gemarkan gaya Muslimah, sudah tentu pemilihan kepada padanan yang menepati syariat Islam seperti labuh, longgar serta selesa dipakai.

Bagi yang sering menghadiri acara kasual atau formal, padanan ringkas dan tidak keterlaluan sering menjadi pilihan. Menyedari kebanyakan wanita gemar mendapatkan semua rekaan di tempat yang sama mendorong pemilik butik Syaz De’ Closet, Shahzrina Shahrir mengetengahkan rekaan yang boleh dipakai ketika menghadiri pelbagai acara.

Dia yang mulanya menjual gaun berbentuk duyung serta skirt pelbagai corak dan warna mula beralih arah kepada konsep Muslimah selepas pulang daripada menunaikan haji tahun lalu dengan mengeluarkan jubah untuk semua golongan usia.

“Menerusi jualan dalam talian, saya mengetengahkan lycra dan rayon yang mendapat permintaan ramai. Ini kerana skirt ini sesuai digayakan untuk acara kasual tambahan pula potongan mengikut bentuk duyung mudah dipadankan dengan blaus. Warna-warni skirt dengan corak bunga-bungaan, polos dan abstrak menyebabkan pelanggan menyukainya,” katanya.

Dia yang mula berniaga secara dalam talian pada Oktober 2010 mengakui pada mulanya sekadar suka-suka. Tetapi selepas pakaian yang diambil secara borong mendapat perhatian ramai, Shahzrina menghasilkan rekaan sendiri.

“Melihat semakin ramai menggemari jubah dengan perincian sekuin saya cuba menghasilkannya. Apa yang saya tekankan adalah keselesaan dengan sedikit perincian pada tangan. Lama-kelamaan saya menambah kepada jubah dengan gabungan renda pada bahagian badan,” katanya yang beroperasi di Sri Gombak, Selangor.

Selain jubah, Syaz De’ Closet turut menyediakan kardigan kimono yang boleh dipadankan dengan skirt atau seluar. Fabrik satin potongan ringkas mampu menyerlahkan sisi si pemakai terutama ketika menghadiri majlis tertentu. Mereka boleh memadankan dengan skirt untuk gaya santai juga kain sekiranya menghadiri majlis perkahwinan.

Dengan memperkenalkan konsep suai padan ini, wanita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan gaya yang mereka idamkan.

Jelas Shahzrina, walaupun semua rekaan dihasilkan sendiri namun dia tidak ‘syok sendiri’ dengan memperkenalkan rekaan yang tidak disukai pelanggan. Sebaliknya setiap helaian akan melalui beberapa tapisan supaya apa saja yang dihasilkan benar-benar mendapat maklum balas positif pelanggan.

“Skirt daripada fabrik songket tenun misalnya dihasilkan sepasang selepas menerima permintaan ramai. Untuk busana, saya hasilkan seperti jaket yang boleh digayakan dengan seluar ke pejabat manakala kainnya berbentuk duyung. Untuk itu, mereka boleh memakai sepasang atau dipadankan dengan bahagian bawah mengikut keselesaan,” katanya.

Setiap rekaan hadir dalam ukuran S, M dan L pada harga mampu milik di bawah RM200. Tudung siap dan selendang turut disediakan bagi memberikan kesenangan kepada pelanggan membuat pilihan.

Untuk maklumat lanjut, boleh berkunjung ke butik di alamat 25A, Jalan SG3/19 Pusat Bandar Sri Gombak atau melayari laman sosial Facebook Syaz De’ Closet, Instagram Syaz_De_Closet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:02 AM