PENYOKONG Ahok mengadakan tunjuk perasaan di luar Penjara Cipinang, tempat Gabenor Jakarta itu dibawa selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atasnya.  - Reuters
PENYOKONG Ahok mengadakan tunjuk perasaan di luar Penjara Cipinang, tempat Gabenor Jakarta itu dibawa selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atasnya. - Reuters
Agensi

Jakarta: Gabenor bandar raya ini semalam dipenjara dua tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina agama.

Ia keputusan yang mengejutkan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai peningkatan sikap tidak bertoleransi dalam agama di Indonesia, negara yang paling ramai penganut Islam di dunia.

Basuki Tjahaja Purnama atau lebih kenali dengan panggilan Ahok kelihatan tenang apabila keputusan itu dibacakan dan berkata, dia akan merayu. Sebahagian penyokongnya di dalam mahkamah menangis.

Di luar, kumpulan penentangnya bersorak selepas mendapat tahu Ahok akan dipenjara.

Ahok, gabenor Jakarta beragama Kristian pertama dalam masa lebih 50 tahun dan etnik Cina pertama memegang jawatan itu dibawa ke penjara Cipinang selepas keputusan diumumkan tetapi tidak jelas sama ada dia akan kekal di situ atau dibebaskan untuk membolehkan dia mengemukakan rayuan.

Ahok dihadapkan ke mahkamah tahun lalu atas tuduhan menghina Islam ketika berkempen untuk mempertahankan jawatannya, kes yang dianggap pengkritik bermotifkan politik.

Popularitinya merudum selepas kontroversi itu sebelum dia kalah dalam persaingan bulan lalu kepada bekas menteri pelajaran.

Panel lima hakim di mahkamah di Jakarta mendapati Ahok bersalah dalam perbicaraan yang berlarutan selama beberapa bulan.

Mengumumkan keputusannya, ketua hakim, Dwiarso Budi Santiarto berkata, Ahok ‘jelas bersalah kerana melakukan penghinaan agama dan dipenjarakan dua tahun’ sebelum mengarahkan gabenor itu ditahan.

Hukuman maksimum terhadap pesalah dalam kes menghina agama di Indonesia ialah penjara lima tahun.

Bagaimanapun, keputusan semalam mengejutkan memandangkan hakim di negara itu biasanya menjatuhkan hukuman seperti disyorkan pendakwa raya.

Pendakwa raya bulan lalu menggesa hakim meletakkan Ahok di bawah pemerhatian selama dua tahun dan penjara setahun jika melakukan jenayah dalam tempoh itu.

Kes Ahok bermula September lalu apabila dia memetik ayat dari Surah Al-Maidah yang didakwanya digunakan oleh pencabarnya dalam pilihan raya gabenor Jakarta untuk menipu pengundi supaya tidak memilihnya.

Tindakannya mencetuskan kemarahan ramai Muslim Indonesia yang menuduh dia menghina kitab suci Al-Quran.

Sebelum kontroversi meletus, sokongan terhadap Ahok begitu kukuh kerana kesungguhannya menangani masalah kesesakan jalan raya dan pencemaran di Jakarta.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menggesa semua pihak menghormati keputusan mahkamah.

“Saya meminta semua pihak menghormati proses perundangan dan keputusan hakim serta langkah Ahok untuk merayu,” kata Jokowi kepada wartawan ketika melawat Papua.

“Yang paling penting, kita menghormati mekanism perundangan bagi menyelesaikan setiap masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 9:56 AM