Agensi

Jakarta: Polis Jakarta semalam memberitahu akan menahan pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab sebaik kembali ke Indonesia selepas dia dua kali gagal hadir untuk disoal siasat sebagai saksi berkaitan satu kes pornografi.

“Kami menjemput Rizieq untuk disoal siasat tetapi dia tidak memberi sebarang maklum balas atau hadir pada tarikh yang ditetapkan.

“Atas faktor itu kami akan menahan Rizieq sebaik sahaja dia kembali ke negara ini,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono.

Rizieq dua kali tidak hadir selepas dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung skandal mesej lucah dengan aktivis politik, Firza Husein.

Polis meminta Rizieq, isterinya dan Firza serta seorang rakan wanita itu hadir ke ibu pejabat polis Jakarta tetapi semua mereka tidak berbuat demikian.

Peguam Rizieq, Kapitra Ampera pada bulan lalu berkata, pemimpin itu tiada di Indonesia kerana menunaikan umrah bersama keluarganya.

Bagaimanapun, Kapitra semalam memberitahu pemimpin itu kini berada di Malaysia untuk menamatkan program kedoktoran di sebuah universiti di negara itu.

Rizieq antara tokoh yang menggerakkan ribuan orang Islam bagi membantah dan mendesak Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang beragama Kristian yang dituduh menghina Islam.

Mahkamah di Jakarta baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Basuki atau dikenali sebagai Ahok selepas didapati bersalah terhadap tuduhan itu.

Argo mengesahkan bahawa Rizieq masih berada di luar negara tetapi enggan mendedahkan di mana pemimpin itu berada.

“Kami tidak melayan Rizieq sebaliknya mahu mengambil keterangannya kerana ada laporan terhadap lelaki itu,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 2:24 AM