AHOK
AHOK
Reuters

Jakarta: Sebuah pertubuhan Islam dijadual mengadakan satu bantahan di luar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di sini hari ini bagi mendesak kerajaan menggantung tugas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang berdepan dakwaan menghina agama Islam.

Kumpulan Islam melancarkan dua perhimpunan besar-besaran terhadap Basuki atau dikenali sebagai Ahok yang kini dibicarakan atas dakwaan menghina agama.

“Kami menggesa supaya anggota DPR mendesak kerajaan menggantung Ahok selain Mahkamah Agung serta hakim menahannya dan mengenakan hukuman maksimum,” kata wakil Forum Umat Islam (FUI), Muhammad al Khaththath.

FUI adalah antara kumpulan Islam yang menganjurkan perhimpunan di depan bangunan DPR berkenaan.

Perhimpunan sebelum ini disertai puluhan ribu peserta sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai toleransi agama di negara itu.

Ahok yang beragama Kristian dan daripada etnik Cina menafikan dia sengaja menghina Islam dan menganggap tuduhan itu bermotif politik.

Dia pada minggu lalu berdepan dua calon Islam dalam pilihan raya gabenor dan walaupun Ahok memperoleh undi tertinggi tetapi gagal mendapat undi mencukupi untuk diumumkan sebagai pemenang.

Pusingan kedua pilihan raya dijangka diadakan pada April ini di mana Ahok bakal berdepan bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan.

Sementara itu, polis Jakarta meningkatkan kawalan keselamatan menjelang perhimpunan itu yang dijangka dihadiri lebih 10,000 peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:12 AM