Agensi

Jakarta: Ribuan anggota polis dan askar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang keganasan ketika perhimpunan besar-besaran membantah Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama pada Jumaat ini.

Perhimpunan itu diadakan bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Basuki atau dikenali sebagai Ahok kerana didakwa menghina agama Islam.

Jurucakap tentera Indonesia, Wuryanto mengesahkan pihaknya merancang menghantar 500 anggota termasuk dari pasukan elit bagi membantu 7,000 anggota polis Jakarta.

Anggota tentera itu juga ditugaskan mengawal keselamatan di kawasan penting seperti lapangan terbang, terminal bas dan pejabat kerajaan.

Wuryanto berkata, pihak tentera bimbang perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan pelbagai pertubuhan Islam itu boleh merebak sehingga tercetusnya keganasan.

“Keadaan dijangka tegang kerana semua orang tahu mengenai perhimpunan pada 4 November ini. Kami mendesak pertubuhan Islam tidak menghantar ahli mereka ke Jakarta,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, puluhan ribu anggota pertubuhan Islam berhimpun di Jakarta bagi mendesak Ahok didakwa kerana menghina agama selepas dia memetik ayat al-Quran dalam ucapannya.

Sementara itu, jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono menjelaskan, anggota polis tidak diberi kebenaran untuk menembak peserta perhimpunan.

“Jangan membuat provokasi dan menjadikan situasi semakin panas,” katanya.

Awi juga memberitahu, anggota polis yang mengawal perhimpunan berkenaan tidak dibenarkan membawa senjata api.

Polis sebelum ini menasihati orang ramai tidak percaya dengan khabar angin di Internet yang mendakwa perhimpunan itu bakal bertukar menjadi ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:04 AM