AHOK ketika berkempen di Koja, Jakarta Utara,  kelmarin.   - Agensi
AHOK ketika berkempen di Koja, Jakarta Utara, kelmarin. - Agensi
Agensi

Jakarta: Beberapa pertubuhan merancang mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran yang mereka gelar 313 bagi menuntut Presiden Joko Widodo (Jokowi) memecat gabenor bandar raya ini Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, berkait dengan tuduhan menghina agama.

Perhimpunan itu dinamakan 313 sempena tarikh ia dirancang diadakan iaitu 31 Mac depan.

Menurut penganjurnya, Forum Umat Islam (FUI), perhimpunan itu yang akan disertai pelbagai pertubuhan, termasuk mereka yang pernah mengadakan perhimpunan 212 pada 2 Disember lalu akan diadakan di depan Istana Negara.

“Perhimpunan 313 pada Jumaat ini akan berpusat di depan Istana Negara. Matlamat ialah sama dengan perhimpunan yang diadakan sebelum ini, iaitu memecat Ahok dan memenjarakannya atas tuduhan menghina Islam,” kata jurucakap FUI, Novel Bamukmin.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FUI, Muhammad Al-Khaththath ketika diminta mengulas mengenai rancangan itu semalam berkata, peserta perhimpunan akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Istiqlal sebelum berarak ke Monumen Nasional dan kemudian berhimpun di hadapan istana.

Berdasarkan poster yang beredar, Aksi 313 menggesa seluruh ulama dan mahasiswa untuk turut serta.

Al-Khaththath juga berkata, perhimpunan itu akan diadakan secara aman.

Sementara itu, jurucakap polis Jakarta, Martinus Sitompul berkata, pihaknya menyedari mengenai rancangan itu tetapi sehingga ini belum ada menerima sebarang permohonan untuk menganjurkannya.

Perbicaraan terhadap Ahok atas tuduhan menghina agama dijangka selesai bulan depan.

Gabenor Jakarta itu yang akan mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya pusingan kedua pada 19 April depan dituduh menghina Islam selepas menggunakan sepotong ayat ketika berkempen dalam pilihan raya berkenaan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:28 AM