JAMAL meluangkan masa menyertai ‘Fun Walk’ IKN 2017 di Putrajaya, baru-baru ini.
JAMAL meluangkan masa menyertai ‘Fun Walk’ IKN 2017 di Putrajaya, baru-baru ini.
Ramlah Zainal


Golongan selebriti tempatan turut memainkan peranan penting meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit kanser yang dilaporkan antara pembunuh nombor satu di negara ini.

Antaranya dengan menjayakan pelbagai aktiviti dan program amal seperti ‘Fun Walk’ Institut Kanser Negara (IKN) 2017 sempena Hari Kanser Sedunia yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.

Selaku jurucakap IKN, Raja Pop Datuk Jamal Abdillah berharap lebih ramai selebriti tempatan turun padang untuk menjayakan pelbagai program dan kempen amal membabitkan pesakit kanser.

“Terus terang, sesibuk manapun dengan agenda seni, saya tetap meluangkan masa menjayakan program anjuran IKN, sekali gus melaksanakan tanggung jawab sosial kepada masyarakat.

“Ini tahun kedua saya menjayakan IKN. Jika sebelum ini saya menghiburkan pesakit kanser dan kakitangan dalam program anjuran IKN, kini saya menjayakan acara ‘Fun Walk’ yang membabitkan orang ramai pula,” katanya.

Jamal turut menyeru individu yang berusia lebih 40 tahun melakukan ujian saringan kesihatan.

“Ramai kehilangan ahli keluarga kerana penyakit kanser yang lambat dirawat dan sudah merebak pada tahap akhir. Justeru, pemeriksaan awal dapat mengesan penyakit yang biasa dialami lelaki seperti kanser paru-paru, prostat, hati dan kolon.

“Wanita pula sering dikaitkan dengan kanser payudara dan servik. Pemeriksaan awal juga penting untuk mengesan sel kanser dan menyelamat­kan nyawa orang yang kita sayangi,” katanya.

Jamal berkata demikian ketika menjayakan program Fun Walk sempena Hari Kanser Sedunia Peringkat IKN 2017 yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr S Jeyaindran.

Ditanya mengenai pemilihan Jamal, Timbalan Pengarah IKN (Perubatan II), Dr Abdul Ghani Abd Jalil berkata, penghibur tersohor itu berpengaruh dan punya ramai peminat.

“Pihak kami memilih Jamal kerana dia juga mempunyai ramai peminat berusia lebih 30 tahun dan pada masa sama memiliki rekod kesihatan yang baik.

“Setakat ini, pihak kami berpuas hati dengan komitmen yang diberikan Jamal selaku jurucakap IKN.

“Program ‘Fun Walk 2017’ berjaya menarik lebih 1,300 penyertaan dan mencapai objektifnya,” katanya.

Sementara itu, Jeyaindran dalam kenyataannya berkata, Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula kadar caj membabitkan pesakit kanser di semua hospital kerajaan yang menawarkan rawatan itu.

“Kajian mengambil kira beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40), orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

“Kos yang dikenakan di hospital kerajaan sangat minimum dan menerima subsidi penuh berbanding hospital swasta yang me­ngenakan caj rawatan antara RM20,000 hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada jenis rawatan dan tahap penyakit.

“Pesakit yang kurang berkemampuan iaitu B40, OKU dan warga emas boleh merujuk kepada pegawai kebajikan kementerian di setiap hospital bagi mendapatkan pengecualian pembayaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:35 AM