Jamal kini di ICU Hospital Ampang. FOTO J PAPA J
Jamal kini di ICU Hospital Ampang. FOTO J PAPA J
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bekas anggota kumpulan duo Asiarasa, Jamal Manap, 55, kini kritikal selepas ditemui tidak sedarkan diri di depan pintu bilik air di kediamannya di Taman Kosas, Ampang, di sini, pagi tadi.

Jamal yang tinggal bersendirian ditemui salah-seorang pekerjanya yang tiba di rumah berkenaan untuk keluar berniaga pada jam 10.15 pagi.

Abangnya, Mohamad Sani, 57, ketika dihubungi berkata, adiknya dikejarkan ke Hospital Ampang, di sini, dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen.

"Saya dan isteri tidak tahu kejadian sebenar kerana dia tinggal seorang diri. Pagi tadi, apabila salah seorang pekerjanya tiba di rumah untuk pergi berniaga, dia mendapati Jamal tidak sedarkan diri dan terlantar di depan pintu bilik air sementara air gula yang dimasak juga sudah kering," katanya yang tinggal bersebelahan rumah Jamal.

Mohamad Sani berkata, doktor memaklumkan keadaan adiknya kritikal kerana mengalami pendarahan dalam kepala dan demam.

“Doktor memberitahu harapannya untuk hidup sangat tipis. Doktor minta kami berdoa supaya dia diberikan kekuatan dan sedarkan diri," katanya.

Jamal yang juga dikenali sebagai Papa J menganggotai Asiarasa bersama seorang lagi penyanyi iaitu Khalid Ahmad. Mereka yang bernaung di bawah Ciku Records milik Manan Ngah ketika itu popular dengan lagu Tanda Ingatan ciptaan komposer terkenal itu.

Menurut Mohamad Sani, Jamal sebelum ini pernah memberitahu kakaknya bahawa dia disahkan menghidap kanser.

“Dia seorang yang tidak suka berkongsi mengenai penyakit yang dialami kepada adik-beradik lain kecuali kakaknya.

"Baru-baru ini sikapnya sangat lain apabila memberitahu kakak dia tidak tahu berapa lama lagi akan hidup,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 7:25 PM