REAKSI Haziq selepas menyumbang mata kemenangan untuk skuad regu negara, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
REAKSI Haziq selepas menyumbang mata kemenangan untuk skuad regu negara, semalam. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tekong muda negara, Muhammad Haziq Hairul Nizam yang menjadi antara tonggak penting membantu pasukan regu Malaysia muncul juara di pentas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dilihat mempunyai potensi cukup besar untuk menjadi pemain terpenting pada masa akan datang.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, dalam pasukan Malaysia ketika ini, terdapat beberapa pemain muda seperti Haziq yang harus diberikan perhatian dan pendedahan lebih banyak agar mereka bersedia menggalas tugas selaku pemain utama nanti.

Jelasnya, kesinambungan pemain itu amat penting bagi memastikan Malaysia terus menjadi pasukan terbaik dalam sukan sepak takraw dan terus menjadi pencabar terkuat buat pasukan Thailand.

"Kita sekarang dalam program transisi pemain. Pemain muda yang ada potensi besar kita akan ketengahkan. Ini untuk jangka masa panjang bagi barisan pemain kita bersiap sedia menggalas cabaran pengganti Syahir, Azlan (Alias) dan sebagainya.

"Jadi kita kena bagi peluang pemain-pemain yang kita rasa ada potensi dan juga berkemampuan supaya mereka dapat pengalaman lebih awal dan juga dapat menyerap tekanan dari segi sokongan dan sebagainya.

"Kita harap inisiatif yang kita lakukan untuk pasukan negara dapat mencapai sasaran yang kita harapkan. Insya-Allah," katanya selepas perlawanan akhir semalam.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Malaysia menamatkan badi ke atas Thailand untuk muncul juara acara regu selepas mencatatkan kemenangan 2-0 di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 8:01 PM