JAMAL dikejarkan ke hospital malam tadi. FOTO arkib NSTP
JAMAL dikejarkan ke hospital malam tadi. FOTO arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos dikejarkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, malam tadi.

Difahamkan, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar rebah dalam satu program parti itu di Sungai Besar, malam tadi.

Anaknya, Amin Daniel, 22, berkata, keadaan bapanya itu stabil dan sedang dipantau rapi doktor pakar hospital berkenaan.

"Pihak hospital masih menjalankan ujian darah bagi mengenal pasti punca sebenar kesihatannya merosot.

"Ayah secara tiba-tiba rebah ketika menghadiri program itu dan saya sendiri membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jamal terlantar di hospital selama berbulan dan merahsiakan apa yang dirasai setahun lalu.

Jamal menyifatkan dirinya sebagai 'mati hidup kembali' apabila pulih sepenuhnya daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat.

Pakar memberitahu yang keadaannya ketika itu sukar untuk diselamatkan dan hanya mempunyai masa yang singkat untuk bertahan.

Semua pakar kanser bersepakat bahawa Jamal hanya mempunyai hayat kira-kira 100 hari saja lagi iaitu sehingga Disember 2021.

Namun, dalam keadaan yang beliau mula reda dengan sebarang kemungkinan, Jamal mula mengubah cara kehidupan dan ia membuahkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 1:50 PM