PASUKAN Double Lelaki Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin bersama Aidil Aiman Azwawi meraikan kemenangan ketika aksi menentang pasukan Thailand pada perlawanan Final Double Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PASUKAN Double Lelaki Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin bersama Aidil Aiman Azwawi meraikan kemenangan ketika aksi menentang pasukan Thailand pada perlawanan Final Double Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Menewaskan Thailand di pentas final untuk muncul juara dalam acara double di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dianggap satu kejayaan paling manis dalam karier Aidil Aiman Azwawi sebagai seorang pemain.

Menurutnya, dia sangat gembira kerana dalam perlawanan akhir itu tidak banyak kesilapan mudah dilakukan untuk membenarkan pasukan lawan mendapatkan mata dan dirinya menggangap itu satu perlawanan yang cukup sempurna untuk pasukan negara.

Malah dia juga memuji persembahan rakannya, Noraizat Mohd Nordin yang banyak membantu dirinya dalam perlawanan itu untuk mencipta sejarah muncul juara dalam edisi di Piala Dunia itu.

"Bagi saya, ini adalah persembahan yang terbaik dalam pasukan Malaysia untuk melawan Thailand. Alhamdulillah, saya memang bersyukur sangat-sangat. Noraizat pun banyak bantu saya untuk melakukan pukulan bersih. Rejaman dia tidak kena 'blocking' apa-apa oleh pasukan lawan dan kami kurang buat kesilapan hari ini (semalam)," katanya.

Selain itu, Aidil juga memaklumkan ketika aksi final itu, pada set pertama memang mereka agak tertekan kerana Thailand cuba melakukan kebangkitan namun dia dan Noraizat dapat mengawal keadaan kembali.

Tambahnya, faktor pemain double Thailand, Seksan Tubtong pernah bersama Malaysia sebagai konsultan dalam acara beregu (double), Februari lalu juga menjadi titik tolak kejayaan Malaysia menang menentang mereka.

"Memang agak tertekan (di set pertama). Tetapi, saya dan Noraizat dapat mengawal keadaan dengan tenang dan rasa tenang sedikit untuk mengambil bola pertama mereka (servis dari Thailand). Dia pernah mengajar kami dulu. Kami pernah berlawan dengan mereka. Sebab itu boleh baca servis dari dia. Itu salah satu sebabnya," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengambil inisiatif melantik Seksan untuk menurunkan ilmunya kepada pasukan double negara dengan kontrak selama tiga bulan namun Thailand yang melakukan rombakan pemain bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 itu membuat kejutan memanggil semula bekas pemain berkenaan untuk memperkuatkan pasukan meskipun dia masih berbaki kontrak bersama skuad negara.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Malaysia mencipta sejarah apabila muncul juara acara double menewaskan Thailand 2-0 di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024, yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, semalam.

Ia adalah kemenangan sangat manis kerana gergasi sepak takraw, Thailand tewas 16-17, 13-15 di tangan skuad negara yang disaksikan oleh ribuan penyokong di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 7:40 PM