Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Sembilan birdie berturut-turut dilakukan Bernd Wiesberger (gambar) banyak membantu pemenang tiga kali Jelajah Eropah itu merampas kedudukan pendahulu dengan kelebihan satu pukulan selepas berakhir hari kedua Kejohanan Maybank di Saujana Golf & Country Club semalam.

Pemain berusia 31 tahun dari Austria itu mencatat sembilan bawah par 63 untuk 12 bawah par keseluruhan 132.

Wiesberger meraih sembilan birdie berturut-turut bermula dari lubang ke tujuh hingga ke-15 selain birdie di lubang ke-4 dan 18.

“Hari ini hampir semua pukulan saya menjadi malah dapat meletakkan bola di tempat yang diinginkan.

“Walaupun mendapat bogey pada lubang keempat, saya mula bermain dengan baik pada lubang ketujuh.

“Malah sepanjang aksi hari ini semua peralatan iaitu driver, iron dan putter saya berfungsi dengan baik untuk membolehkan saya meriah keputusan seperti hari ini.

“Susulan kelebihan ini, saya bertambah yakin untuk mengharungi hari ketiga. Harap saya dapat beraksi dengan lebih baik esok,” katanya.

Mengekori rapat Wiesberger adalah pemenang Kejohanan Master tahun lalu Danny Willett yang mencatat lima bawah par 67 untuk 11 bawah pada keseluruhan 133.

Sementara itu, hasrat juara bertahan Marcus Fraser dari Australia untuk mengulangi kejayaan tahun lalu tidak kesampaian apabila gagal melepasi cut pada aksi pusingan kedua semalam.

Fraser mencatat 73 pukulan satu atas par pada hari kedua iaitu lebih teruk berbanding pusingan pertama dengan catatan 70 pukulan dua bawah par.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:16 AM