GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Ruzaini Zulkepli


Putatan: Dua terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kampung Meruntum, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Nonoi, 44, dilaporkan masih hilang.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.15 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, kejadian ini membabitkan bot yang dinaiki tiga lelaki karam di perairan Kampung Meruntum di mana dua daripadanya terselamat manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kemudiannya melakukan pencarian di kawasan perairan, manakala bomba di kawasan pinggir pantai namun setakat petang tadi mangsa yang hilang masih belum dapat ditemui, " katanya, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR itu ditangguhkan pada 8 malam tadi dan akan diteruskan semula pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 11:04 PM