Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kejadian bot nelayan karam di perairan Pulau Perhentian,Terengganu dipertingkatkan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, SAR berkenaan perlu dipertingkat bagi mengenal pasti lokasi kejadian dan mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.

Menurut beliau, pihaknya mengarahkan aset strategik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terdiri daripada kapal maritim KM Amanah, bot laut Kilat 28 dan pesawat AW139 ke lokasi kejadian.

Katanya, SAR itu turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Taman Laut (JTL) dan agensi kerajaan lain.

"KDN akan terus memantau situasi itu dari masa ke semasa di samping menyelaras SAR itu secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Semalam lima nelayan dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka karam berhampiran perairan Pulau Perhentian, Besut,Terengganu.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad,kejadian kira-kira 1 tengah hari itu membabitkan sebuah bot nelayan milik warga tempatan dalam perjalanan ke lokasi untuk menangkap ikan.

Katanya, bot itu dinaiki seorang tekong dan empat awak-awak karam dipercayai akibat bocor dan cuaca buruk dan berdasarkan makluman pengadu melaluiperbualan telefon dengan tekong bot lain, mangsa sempat meminta bantuan kerana bot mangsa dimasuki air ketika berada berdekatan perairan Kelantan.

Tekong bot iaitu Tuan Azaha Tengku Long, 47, dari Pasir Putih, Kelantan dan tiga awak-awak iaitu Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, (Pasir Putih, Kelantan); Mohd Azri Mohd Rosdi, 28, (Tok Bali, Kelantan) dan Ujang, 40, dijumpai di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar, hari ini.

Seorang lagi mangsa iaitu Saari Saleh, 40-an, berasal dari Terengganu masih belum ditemui.

Berita berkaitan:

  • Bot karam, empat nelayan selamat, seorang hilang
  • Bot karam, lima nelayan tempatan hilang
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 2:56 PM