Anggota penyelamat bersiap sedia melakukan operasi SAR. Gambar kecil adalah bot mangsa yang karam. FOTO Ihsan Bomba dan PDRM
Anggota penyelamat bersiap sedia melakukan operasi SAR. Gambar kecil adalah bot mangsa yang karam. FOTO Ihsan Bomba dan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA rakan baik dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam dekat Empangan Bekok, Yong Peng, Batu Pahat, Johor, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dalam kejadian itu, seorang lagi rakan mereka, C Dava Rajan, 16, terselamat, manakala mangsa yang masih hilang dikenali sebagai A Tamil Selvam, 19, dan R Kaalicharan Sam, 28.

Beliau berkata, polis menerima maklumat pada 3.15 pagi tadi melalui talian kecemasan 999 bahawa terdapat sebuah bot karam di lokasi kejadian.

"Bertindak atas maklumat, empat anggota ronda Balai Polis Yong Peng bersama dua anggota tugas MPV ke lokasi untuk membuat tinjauan.

"Menurut mangsa yang terselamat, bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam akibat jaring ikan yang terlalu berat di bahagian hadapan bot.

"Dakwa mangsa terselamat, apabila terlanggar ombak, bot tiba-tiba karam dan dia terus berenang ke tebing, manakala dua lagi mangsa tidak diketahuinya," katanya.

Menurut Abdul Wahib, mangsa yang hilang mempunyai lesen menangkap ikan di Empangan Bekok dan mereka adalah kawan baik yang datang dari Segamat.

Katanya, bot berkenaan adalah milik Kaalicharan iaitu seorang daripada mangsa yang masih hilang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa datang ke Empangan Bekok untuk memancing kira-kira 10 malam dan pada 1 pagi mangsa mengambil jaring untuk dipasang sebelum balik.

"Ketika jaring diangkat ke atas bot, ia agak berat tetapi bot masih boleh terapung di atas air dan semua mangsa naik semula ke atas bot untuk meneruskan semula perjalanan menaiki bot ke empangan berkenaan.

"Ketika dalam perjalanan untuk memasang jaring, bot terlanggar ombak air dan tiba-tiba terus karam," katanya.

Sejak jam 9 pagi tadi, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba Yong Peng dan empat anggota bomba Unit Skuba Segamat berada di lokasi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 9:50 PM