JEMAAH tekun mendengar penjelasan Dr Ammar dan Dr Asraf mengenai penjagaan kesihatan sewaktu di Makkah. FOTO Husain Jahit
JEMAAH tekun mendengar penjelasan Dr Ammar dan Dr Asraf mengenai penjagaan kesihatan sewaktu di Makkah. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M tidak perlu bimbang lagi untuk mendapatkan khidmat fisioterapi apabila anggota unit itu akan datang ke bilik-bilik jemaah untuk mengajar dan memberi panduan mengenai pergerakan yang perlu dilakukan.

Penyelaras Operasi (Unit Kesihatan Awam), Lembaga Tabung Haji (TH), Dr Asraf Ahmad Qamruddin berkata, bagi memantapkan lagi perkhidmatan kesihatan kepada jemaah haji, Program Ziarah Rahmah pada tahun ini akan disertai pakar fisioterapi yang akan berkongsi panduan dan nasihat dengan jemaah mengenai pergerakan atau regangan yang perlu dilakukan.

"Selalunya di Tanah Suci, jemaah haji perlu melakukan perjalanan yang lebih jauh daripada kebiasaannya di Malaysia. Kita tunjukkan cara-cara senaman yang perlu dilakukan bagi memastikan jemaah kekal cergas, jika ada yang mengalami masalah sendi atau otot kita boleh kenal pasti lebih awal.

"Program Ziarah Rahmah yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu adalah lawatan dari bilik ke bilik untuk memeriksa keadaan kesihatan jemaah haji bagi membantu mengesan lebih awal masalah kesihatan yang dihadapi jemaah haji bagi mengelak ia menjadi bertambah serius," katanya kepada Petugas Media TH, di sini, kelmarin.

JURUPULIH Perubatan Fisioterapi Mastura Amira Mohamed Sabilan mengajar salah seorang jemaah cara urutan yang betul. FOTO Husain Jahit
JURUPULIH Perubatan Fisioterapi Mastura Amira Mohamed Sabilan mengajar salah seorang jemaah cara urutan yang betul. FOTO Husain Jahit

Tujuan Ziarah Rahmah adalah untuk bertanya khabar, sampaikan maklumat dan pendidikan kesihatan secara langsung dengan jemaah.

"Jika jemaah haji ada sebarang kemusykilan mengenai masalah kesihatan mereka boleh terus bertanya kepada pegawai perubatan ketika lawatan dibuat, kerana ketika pendidikan kesihatan berkumpulan, mungkin jemaah tidak ada kesempatan bertanya masalah kesihatan," katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya boleh mengenal pasti jemaah yang mempunyai gejala atau masalah kesihatan untuk nasihatkan mereka supaya pergi ke klinik maktab.

Ini penting supaya kesihatan jemaah haji terjaga, katanya.

"Setakat ini, Ziarah Rahmah di Makkah dan Madinah, kami sudah pergi ke lebih 500 bilik serta menemui lebih 800 jemaah.

"Kebiasaannya masalah utama yang dihadapi jemaah adalah keperluan mengambil air. Walaupun sudah diingatkan ada jemaah yang masih kurang jelas berapa banyak jumlah air yang perlu diambil dan ada jemaah yang takut jika minum banyak air mereka perlu ke kerap ke tandas," katanya lagi.

Terdapat juga masalah seperti sendi dan otot apabila berjalan ke masjid, kulit kaki menggelupas dan juga masalah bagaimana nak teruskan ubatan mereka di Tanah Suci.

Pihaknya akan memberikan nasihat yang ringkas kepada jemaah termasuk faktor cuaca, bagaimana hendak mengambil air dan bagaimana hendak mengelak daripada kelesuan haba serta bagaimana untuk mengelak terkena jangkitan saluran pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:20 AM