PETA menunjukkan lokasi penemuan rangka bot terbabit. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
PETA menunjukkan lokasi penemuan rangka bot terbabit. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan rangka bot yang ditemui di perairan Membakut, Beaufort, semalam bukan bot katamaran dinaiki pelancong China yang karam di perairan Pulau Mengalum, 28 Januari lalu.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, ia sebenarnya berkaitan dengan kes berlainan iaitu bot katamaran yang rosak di perairan pulau sama pada 13 Februari lalu.

"Kita menerima maklumat daripada nelayan tempatan yang mendakwa menemui rangka bot itu kira-kira 100 meter jarak dari Pantai Membakut pada 11.02 pagi.

"Satu usaha mencari rangka itu kemudian dilakukan dengan membabitkan aset Bot Kilat 40 dan kita berjaya menemui lokasi berkenaan 2.39 petang di perairan terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati rangka bot itu adalah bot katamaran yang rosak dalam kejadian 13 Februari lalu dan perkara ini sendiri disahkan oleh pemilik bot berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 31 orang termasuk 28 pelancong warga China karam di perairan Pulau Mengalum, dekat sini.

Seramai 22 terselamat, empat maut dan lima masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 1:03 PM