DUA ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam dalam kejadian di perairan Kuala Sepetang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
DUA ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam dalam kejadian di perairan Kuala Sepetang, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


DUA ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki dipercayai karam dalam kejadian di perairan Kuala Sepetang, Taiping, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, wanita membuat laporan polis hari ini mengatakan suaminya Beh Liang Tik, bersama anak lelakinya Beh Chun Hui, dan kawan anaknya Low Eng Chuan tidak pulang selepas keluar ke laut menangkap ikan sejak Selasa lalu.

“Tiga mangsa itu keluar ke laut kira-kira 10 pagi Selasa lalu untuk menangkap ikan di kawasan perairan Kuala Sangga, dekat sini dengan menaiki bot gentian dan tidak pulang sehingga sekarang dipercayai hilang.

“Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan polis Kuala Sepetang dan dua bot nelayan awam serta agensi lain termasuk bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat awal dua mangsa ditemui lemas dan satu mangsa lagi iaitu Beh Chun Hui masih belum ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya dimaklumkan polis terdapat kes tiga lelaki dipercayai lemas di kawasan berkenaan 8.25 pagi.

“Maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat tiga mangsa dipercayai lemas dan operasi pencarian awal dilakukan penduduk kampung sebelum dua mangsa berusia 49 tahun dan remaja 16 tahun ditemui lemas oleh nelayan kira-kira 8 pagi tadi, manakala seorang lagi remaja masih hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, operasi SAR sedang dijalankan pihak bomba secara pencarian permukaan air membabitkan sembilan anggota menggunakan sebuah bot di kawasan sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 11:36 AM