NOOR Fadillah mendapat sokongan kuat dari adik-beradik.
NOOR Fadillah mendapat sokongan kuat dari adik-beradik.

Nurul Husna Mahmud

[email protected]

Tiada siapa yang mahu memikul gelaran 'janda' apatah lagi memiliki ramai anak hasil dari perkahwinan dengan suami.

Namun, daripada terus terpalit dalam hubungan toksik, meleraikan hubungan dengan pasangan pilihan lebih baik dan memiliki hikmah tersendiri.

Selain keperitan perlu ditanggung sendirian, perceraian bukan perjalanan mudah apabila wanita atau isteri turut hilang keistimewaan baik harta mahupun peluang membesarkan anak.

Itu antara kisah perjalanan dikongsi dua wanita gigih yang berada di titik paling bawah dalam kehidupan mereka yang boleh dijadikan inspirasi wanita di luar sana.

Menurut ibu tunggal dari Sungai Pelek, Sepang, Selangor Nurul Faradila Abdullah, 40, selain tinggal

'sehelai sepinggang' akibat menuntut perceraian dengan suami, dia turut kehilangan hak menjaga empat anaknya.

Kata Nurul Faradila, dia yang sebelum ini adalah pengusaha taska dan memiliki kehidupan selesa tidak sanggup meneruskan perkahwinan dengan suami.

NURUL Faradila (berdiri dua dari kiri) disenangi dan mudah mesra.
NURUL Faradila (berdiri dua dari kiri) disenangi dan mudah mesra.

I

"Suami dari segi keperluan saya dan anak-anak dia tidak pernah gagal penuhi, tetapi satu sudut lain iaitu sikap suami seakan-akan terlalu mengongkong menyebabkan saya hidup dalam ketakutan.

"Sebenarnya masalah kami ialah komunikasi dan suami apabila ada isu remeh menyebabkan serangan panik dan akhirnya saya terpaksa menuntut cerai.

"Saya sudah tidak kisah dengan syarat suami termasuk kena keluar rumah sehelai sepinggang tanpa membawa anak.

"Selepas bercerai, saya langsung tidak berpeluang jumpa anak sehingga dua tahun lalu bekas suami terbuka hati benarkan saya bertemu anak-anak," katanya.

Di sebalik halangan berjumpa anak, Nurul Faradila yakin ada hikmahnya. Dia hidup dalam kesusahan sehingga terpaksa mengharapkan ihsan orang untuk makan.

"Saya rasa permulaan adalah paling perit kerana perlu rendahkan ego demi sesuap nasi. Maklumlah saya dulu majikan dan mengupah pekerja.

"Malah, saya susah terima hakikat untuk mula dari bawah dan saya pernah berhenti menjadi pengawal keselamatan di sekolah dalam tempoh 24 jam kerana tahu ada guru mengajar anak saya bekerja di sekolah itu.

"Apabila duit sudah habis dan banyak minta tolong kawan sehingga mereka terbeban, saya mula buat haluan sendiri," katanya.

Namun, atas kesedaran mahu kembali kepada anak-anak, kata Nurul Faradila, dia mula mencari pekerjaan termasuk menjadi penyanyi untuk lagu iklan atau sampel lagu.

"Dulu ketika muda tidak terfikir kehidupan saya boleh jadi hingga tahap ini. Maklumlah saya pernah menjadi penyanyi sehingga ada album, tetapi memilih untuk berkahwin.

"Pada saya penting wanita ada simpanan kecemasan selain bina karier stabil apabila hubungan perkahwinan menjadi buruk," katanya.

Pengorbanan besar dia dalam memastikan anak tidak kekurangan kasih sayang ialah dia memastikan keperluan anak terutama pendidikan secukupnya.

"Walaupun saya tidak mampu sokong dari segi kewangan, tetapi impian anak saya cuba penuhi pelbagai sudut. Saya tidak kisah merendahkan diri dekat suami asalkan anak dapat gapai impian mereka," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Noor Fadillah Amat, 41, akur diceraikan suami akibat tiada lagi persefahaman.

"Dalam kes saya ialah selama ini pengorbanan saya mengabdikan sepenuh masa untuk keluarga tidak lagi dipandang bekas suami.

"Saya menjadi suri rumah kerana bekas suami mahu isteri duduk di rumah dan jaga anak-anak.

"Tetapi, sudut lain dunia saya sepenuhnya di rumah dilihat memberi ruang kepada pasangan saya mudah tertarik dengan wanita di luar.

"Saya sudah reda kerana tidak mahu anak rasa tertekan atau stres selain anggap ini juga peluang saya menguruskan hidup dengan cara sendiri," katanya.

Tambah Noor Fadillah, cabaran apabila diceraikan bekas suami ialah keperluan anak selalunya dipenuhi suami.

"Sedikit terkilan juga sebab bekas suami seorang bapa yang baik dan menyayangi anak. Cumanya mungkin ini ujian dia apabila memilih untuk menceraikan saya.

"Saya cuma bimbang jika bekas suami berkahwin, saya perlu bekerja dan menjaga anak dalam waktu sama.

"Cuma saya terpaksa cari pekerjaan sesuai dengan keadaan saya perlu menjaga lima anak masih bersekolah dan membesar,"katanya.

Dia bersyukur mendapat sokongan keluarga terutama adik-beradik dalam menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

"Hidup ibu tunggal kena kuat dan saya bersyukur dikelilingi kawan dan ahli keluarga sangat positif.

"Saya tidak tersungkur kerana sokongan sosial kuat dan anak-anak juga antara motivasi untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Nasihat Noor Fadillah, wanita perlu lebih kuat dan menghargai diri sendiri.

"Wanita perlu meneroka potensi sendiri dan sebenarnya wanita berdikari lebih kuat dan memiliki jati diri tinggi.

"Menyayangi diri sendiri juga sangat penting kerana itu meletakkan diri mereka di kedudukan yang baik selain menjaga harga diri," katanya.

Demi kelangsungan diri dan anak-anak, dia mengusahakan perniagaan makanan dan pelbagai produk dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 7:01 AM