Mohd Na'im Mokhtar.
Mohd Na'im Mokhtar.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kecekapan Malaysia dalam aspek pengurusan operasi haji melayakkan negara ini dipilih menyertai program Makkah Route untuk tahun keenam berturut-turut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan lagi kepercayaan dan hubungan dua hala dengan Kerajaan Arab Saudi melalui Program Pra-Perlepasan Jemaah Haji atau Makkah Route untuk tahun keenam pelaksanaannya.

"Kerajaan Malaysia amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

"Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini, satu pencapaian membanggakan yang membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan TH.

"Selain itu, tahap disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia," katanya pada Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M di Balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), awal pagi tadi.

Turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim, serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Malaysia, negara pertama di dunia yang diberikan kepercayaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada tahun 2017.

Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada 2018, 2019, 2022 dan 2023 serta tahun ini, di samping Makkah Route diperluaskan keenam negara lain.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, pelaksanaan Makkah Route banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara kerana selepas melalui penerbangan selama lapan jam, mereka tidak lagi perlu menunggu lama setibanya di Tanah Suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi diselesaikan di KLIA.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata, TH sentiasa meletakkan tahap profesionalisme yang tinggi ketika mengurus jemaah haji negara di samping komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada Dhuyufurrahman setiap tahun.

"Pelaksanaan Makkah Route ini meletakkan pengurusan haji TH di tahap cemerlang kerana ia ternyata memudahkan urusan jemaah haji dan ini dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan yang direkodkan.

"Pihak TH amat berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan dua hala ini dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan Dhuyufurrahman.

"Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad atas sokongan yang diberikan dan penghargaan juga buat semua jemaah negara serta pendeposit atas kepercayaan mereka kepada TH selama ini," katanya.

Majlis pelancaran itu berlangsung ketika pelepasan 353 bakal haji kumpulan ke-38 (KT038) ke Tanah Suci melalui pesawat Saudi Airlines SV 5013, pada 2.15 pagi tadi.

Sehingga semalam, lebih 10,400 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci melalui proses Makkah Route.

Pada masa sama, 100 penerbangan sewa khas bagi Musim Haji 1445H/2024M bermula pada 9 Mei lalu, manakala penerbangan akhir dijadualkan 9 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:41 AM