Kereta elektrik Perodua Myvi EMO-I Concept dipamerkan pada Pameran Auto Malaysia 2024 (MAS 2024).
Kereta elektrik Perodua Myvi EMO-I Concept dipamerkan pada Pameran Auto Malaysia 2024 (MAS 2024).
Oleh Lizam Ridzuan


Serdang: Perodua mempamerkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya daripada Myvi Conversion dikenali sebagai emo-1 yang akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu dalam membangunkan teknologi elektriknya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, prototaip EV berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia manakala pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.

"Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia dan kerjasama ini bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan," katanya pada acara Malaysia Autoshow 2024 di sini, semalam.

Kerjasama berkenaan yang bermula sejak September 2022 memperlihatkan Perodua dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas dan ia membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV.

Kenderaan itu disasarkan untuk golongan pertengahan (M40) yang dijangka dijual pada sekitar harga antara RM50,000 dan RM100,000.

"Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini namun apa yang lebih penting setiap pihak yang terbabit memahami fungsi teknologi EV dan ia dijangka bakal direalisasikan pada penghujung 2025," katanya.

Menurutnya, pihaknya memilih Perodua Myvi sebagai model pilihan kerana ia adalah kereta yang memenangi hati kebanyakan rakyat Malaysia.

Katanya, pihaknya juga mempelawa orang ramai untuk singgah ke ruang pameran Perodua di Malaysia Auto Show 2024 bagi melihat sendiri Perodua Myvi Conversion di samping menyertai pelbagai kempen menarik yang disediakan.

Selain itu pembuatan kereta EV Perodua itu nanti bukan sahaja sebagai mobiliti hijau malah ia merangkumi ekosistem pelupusan bateri yang lebih efisien dan sistematik serta mesra alam selain sistem pengecasan lebih sesuai buat mereka yang tinggal di apartmen.

Perodua juga dalam landasan yang betul dan memastikan kelancaran operasi dengan mempertimbangkan untuk membina kilang pemasangan baru atau mencari rakan kongsi bagi pemasangan kenderaan EV itu nanti.

Buat masa ini kilang Perodua mempunyai kapasiti pengeluaran lebih 300,000 unit setahun dan dengan pertambahan model EV itu, ia tidak menganggu proses pengeluaran semasa.

Mengenai perkembangan lain, buat masa ini tempoh menunggu untuk model baharu Perodua berjaya dikurangkan kepada tempoh satu hingga empat bulan berbanding lapan bulan pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 7:01 AM