FOTO fail pada 17 Mei menunjukkan suasana di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
FOTO fail pada 17 Mei menunjukkan suasana di Balai Polis Ulu Tiram, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang ditahan reman berhubung serangan Balai Polis Ulu Tiram, dibebaskan tanpa syarat, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pembebasan dua pelajar berkenaan dibuat selepas mendapat arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

"Polis Johor ingin mengesahkan dua pelajar yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta dan institusi latihan yang ditahan pada 17 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung serangan Balai Polis Ulu Tiram, sudah dibebaskan.

"Mereka berdua dibebaskan dengan tanpa syarat semalam, selepas mendapat arahan Pejabat Peguam Negara.

"Bagaimanapun, siasatan terhadap lima ahli keluarga suspek masih diteruskan berikutan tahanan reman mereka hanya akan tamat pada 24 Mei atau Jumaat ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian serangan pada 2.54 pagi, Jumaat lalu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun, serta suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam kejadian berkenaan.

Koperal Mohd Hasif Roslan, yang dilaporkan parah, kini stabil dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Sabtu lalu, tujuh individu dilaporkan direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berusia antara 19 hingga 62 tahun, yang ditahan sejak Jumaat lalu. Ia susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek, selepas kejadian.

Turut direman, dua pelajar IPT yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 8:05 AM