IRDAWATY (tengah) dan suaminya, Fadzli (kanan) bersama coach program Business Fundamental Mastery yang membantu mambimbing perniagaan suami isteri itu bermula Ogos hingga November tahun lalu. FOTO ihsan Irdawaty Ahmad Ariffin
IRDAWATY (tengah) dan suaminya, Fadzli (kanan) bersama coach program Business Fundamental Mastery yang membantu mambimbing perniagaan suami isteri itu bermula Ogos hingga November tahun lalu. FOTO ihsan Irdawaty Ahmad Ariffin
Muhamad Lokman Khairi


Batu Gajah: Pernah diuji dengan kehilangan pekerjaan, kini pasangan suami isteri ini boleh menarik nafas lega apabila berjaya mencipta kerjaya perniagaan sate dengan hasil jualan mencecah RM30,000 sebulan.

Irdawaty Ahmad Ariffin, 42, berkata, semuanya bermula pada 2019 lalu di mana suaminya, Fadzli Mohd Rafdzi, 42, diberhentikan kerja daripada pembantu kantin sekolah, mendorong mereka berdua berniaga kuah kacang semata-mata selama beberapa bulan.

Menurutnya, bagi memastikan kelangsungan hidup bersama empat cahaya mata yang berusia antara tiga hingga 13 tahun, beliau dan suami nekad memulakan perniagaan sate secara kecil-kecilan dengan hanya bermodalkan RM200 serta menumpang tapak jualan berdekatan sebuah restoran kenalan di Kampung Sentang, di sini.

"Kami fikir sampai bila hendak jual kuah kacang sahaja kerana marginnya rendah, jadi kami cuba cipta ramuan sate yang diproses sendiri di rumah.

"Saya masih ingat pada minggu pertama, kami hanya mampu jual kurang 100 cucuk sate, walaupun untung bersih ketika itu cuma RM50 sehari kami tetap bersyukur kerana mampu tunaikan tanggungjawab kepada anak-anak di rumah.

"Alhamdulillah, sate kami diterima dan permintaan pelanggan semakin bertambah sehinggalah sebanyak 1,500 cucuk sate terdiri daripada empat jenis iaitu ayam, daging, kambing dan perut terjual setiap hari," kata pengusaha jenama Che' Mat Satay Warisan itu.

Jelasnya, sinonim penggunaan jenama Che' Mat itu merujuk panggilan mesra penduduk setempat terhadap suaminya, Fadzli.

CHE' Mat Satay Warisan menawarkan empat variasi sate iaitu ayam, daging, kambing dan perut.
CHE' Mat Satay Warisan menawarkan empat variasi sate iaitu ayam, daging, kambing dan perut.

Bercerita lanjut, Irdawaty berkata, hasil keuntungan jualan itu membolehkan dia dan suami memindahkan operasi pembuatan dari kediaman mereka di Kampung Tersusun Sentang kepada sebuah premis perniagaan di Taman Pinggiran Saujana Batu Gajah di sini, pada 2021.

Pada tahun berikutnya, Che' Mat Satay Warisan menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM20,000 tajaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dimanfaatkan untuk pembelian peralatan dan mesin pemprosesan sate.

"Berkat bantuan itu, kami bukan sahaja dapat memenuhi permintaan pelanggan yang datang untuk merasai keenakan sate panas baru dibakar, malahan kami juga membekalkan sate sejuk beku kepada 10 peniaga kecil sekitar Perak.

"Peniaga-peniaga ini ada beroperasi di kawasan Manjung, Tronoh, Chepor, Sungai Siput dan Station 18 Ipoh," katanya.

Meskipun berdepan cabaran permintaan sate yang kadang-kala ada pasang surutnya, Irdawaty dan Fadzli berterima kasih kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) kerana menaja latihan bimbingan perniagaan menerusi program Business Fundamental Mastery bermula Ogos hingga November tahun lalu.

"Coaching team datang ke kedai dan melihat laporan perniagaan. Mereka turut memantau jualan serta membimbing kami dengan khidnat nasihat merangkumi aspek perniagaan, pemasaran dan pengurusan pekerja selama tempoh empat bulan itu.

"Hasilnya, hasil jualan Che' Mat Satay Warisan boleh kekal purata RM30,000 sebulan berbanding kurang daripada itu sebelum ini.

"Selain membuahkan keuntungan kepada syarikat, kursus itu juga membolehkan saya membantu membimbing peniaga kecil sate yang rata-rata menjadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan tunggal mereka," kata Irdawaty yang menyasarkan untuk membuka francais dan menembusi pasaran di luar Perak.

STeP dan PASAK adalah antara agensi peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat menerusi pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, MARDI pula berperanan sebagai peneraju flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dalam pelan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 7:02 AM