AFP

Bangkok: Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) berusia 73 tahun maut dan lebih 70 orang cedera pada Selasa, dalam apa yang disifatkan penumpang sebagai adegan menakutkan di dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang dilanda gelora udara yang teruk, sehingga mencetuskan pendaratan cemas di Bangkok.

Analisis data awal oleh perkhidmatan pengesanan penerbangan Flightradar24 mencadangkan penerbangan London-Singapura mengalami lebih daripada satu minit pergolakan melampau di sekitar 11,300 meter di atas Myanmar, di mana ia naik dan menjunam dengan ganas beberapa kali.

Penerbangan SQ321 berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow di London dan "menghadapi gelora udara melampau secara tiba-tiba" di atas Lembangan Irrawaddy, Myanmar, menurut Singapore Airlines.

Pesawat itu kemudiannya melakukan 'penurunan tajam' dan terkawal dan melencong ke Bangkok.

Andrew Davies, penumpang British di dalam Boeing 777-300ER itu memberitahu BBC Radio 5 bahawa pesawat itu "tiba-tiba jatuh" dan terdapat "amaran yang sangat sedikit."

"Semasa beberapa saat pesawat itu 'jatuh', terdengar jeritan yang mengerikan dan bunyi seperti bunyi dentuman," katanya sambil menambah dia membantu seorang wanita yang "menjerit kesakitan" dengan "cedera di kepalanya."

Dia menggambarkan melihat orang yang mengalami luka di kepala dan telinga berdarah: "Saya terkena air kopi. Ia adalah gelora udara yang sangat teruk."

Kebanyakan penumpang yang cedera dalam penerbangan itu mengalami kecederaan di kepala, kata pengarah Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, Kittipong Kittikachorn, yang mengesahkan umur dan kewarganegaraan lelaki yang maut itu.

Kenderaan kecemasan dikejarkan ke landasan di lapangan terbang utama ibu negara Thailand dengan lampu berkelip dan siren berbunyi selepas pesawat itu mendarat pada 3.45 petang.

"Pada 3.35 petang, lapangan terbang menerima panggilan kecemasan daripada penerbangan Singapore Airlines yang mengatakan terdapat penumpang di dalam pesawat cedera akibat gelora udara, dan meminta pendaratan cemas," kata Lapangan Terbang Suvarnabhumi dalam satu kenyataan.

"Pesawat itu mendarat di lapangan terbang dan pasukan perubatan dihantar untuk merawat semua yang cedera."

Sebilangan besar mereka yang berada di dalam pesawat itu - 131 penumpang dan 12 anak kapal - akhirnya tiba di Singapura dalam penerbangan bantuan sejurus selepas 5 pagi Rabu, kata syarikat penerbangan itu.

Difahamkan, 79 lagi penumpang dan enam anak kapal kekal di Bangkok, termasuk mereka yang menerima rawatan perubatan.

Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mendiang, menyiarkan di Facebook bahawa negaranya "bekerja rapat dengan pihak berkuasa Thailand."

Daripada semua penumpang itu, 56 adalah warga Australia, 47 warga UK dan 41 warga Singapura, kata syarikat penerbangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 9:02 AM