Bangkok: Dua warga Thai mengaku salah memfitnah raja dalam satu drama yang dipentaskan di universiti.

Raja Bhumibol Adulyadej, 87, dilindungi undang-undang fitnah yang mungkin paling tegas di dunia. Sesiapa yang menghina raja, permaisurinya, pewaris takhta atau pemangku raja berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap tuduhan.

Hakim Mahkamah Jenayah Ratchada berkata, kedua-dua tertuduh, pelajar Patiwat Saraiyaem, 23, dan aktivis Porntip Mankong, 25, mengaku salah atas tuduhan terhadap mereka. Hukuman akan dijatuhkan pada 23 Februari depan.

Mereka ditahan Ogos lalu, hampir setahun selepas pementasan ‘The Wolf Bride’ di Universiti Thammasat, Bangkok.

Masing-masing didakwa atas satu tuduhan derhaka disebabkan persembahan itu yang diadakan sempena ulang tahun ke-40 protes prodemokrasi dianjurkan pelajar yang ditumpaskan kerajaan pada Oktober 1973.

Kedua-dua tertuduh dibawa ke mahkamah dengan berkaki ayam, malah Patiwat turut dirantai kakinya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:06 AM