RAKYAT Thai berkumpul di luar Istana Besar di Bangkok, menanti giliran untuk memberi penghormatan kepada mendiang Raja Bhumibol, semalam.  - Reuters
RAKYAT Thai berkumpul di luar Istana Besar di Bangkok, menanti giliran untuk memberi penghormatan kepada mendiang Raja Bhumibol, semalam. - Reuters
PREM
PREM
Agensi

Bangkok: Orang kepercayaan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, Prem Tinsulanonda disahkan secara rasmi menjadi pemangku raja untuk menguruskan tahkta itu, menggantikan buat sementara waktu putera mahkota dan pewaris takhta, Maha Vajiralongkorn.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan selama mana Prem, 96, bekas panglima tentera dan perdana menteri itu akan memangku jawatan berkenaan.

Dalam ucapannya lewat kelmarin, Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha berkata, Vajiralongkorn mempelawanya dan Prem untuk berbincang mengenai perkara itu ketika putera mahkota terbabit mahukan masa untuk sama-sama berkabung dengan rakyat Thai selepas kematian bapanya.

Prem mengetuai Majlis Privi, badan yang menasihat monarki. Selain menjadi penasihat paling rapat kepada mendiang raja itu, Prem juga diketahui akrab dengan anak perempuan Bhumibol yang paling disenangi rakyat Thai, Maha Chakri Sirindhorn.

Vajiralongkorn yang sepatutnya menduduki takhta meminta lebih banyak masa sebelum ditabalkan.

Dalam mesejnya menerusi televisyen, Prayuth berkata, Vajiralongkorn, 64, mahukan seluruh rakyat Thai membantu satu sama lain dalam mengharungi tempoh berduka sebelum memikirkan mengenai pertabalannya.

Setakat ini belum ada tarikh ditetapkan untuk upacara pembakaran mayat Bhumibol. Biasanya, mayat keluarga di raja akan dibakar beberapa bulan atau tahun selepas kematian mereka.

Kerajaan Thai menetapkan tempoh berkabung selama setahun tetapi ia tidak meliputi sektor swasta.

Mayat Bhumibol kini ditempatkan di kuil dalam perkarangan Istana Besar di Bangkok untuk membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:41 AM