Bangkok: Thailand semalam memenjara tiga saudara kandung bekas puteri diraja negara itu selama lima setengah tahun selepas dia disingkirkan daripada istana tahun lalu.

Srirasmi Suwadee yang sebelum ini dikenali sebagai Puteri Srirasmi, bercerai dengan Putera Mahkita Maha Vajiralongkorn sebelum gelaran dirajanya digugurkan Disember 2014.

Penyingkiran dan hukuman penjara ke atas ramai ahli keluarganya berlaku ketika orang ramai terus dibayangi kebimbangan terhadap tahap kesihatan Bhumibol Adulyadej, 87, serta bakal penggantinya.

Adik-beradik Natthapol, Narong dan Sitthisak Suwadee dijatuhi hukuman penjara 11 tahun setiap seorang, tetapi dikurangkan kepada lima setengah tahun apabila mereka mengaku salah atas tuduhan mencuri, menghina raja serta menahan secara salah.

Hakim berkata, tertuduh menggunakan nama pihak tertinggi negara dalam usaha memeras ugut pihak tertentu dan ia mencemar institusi diraja Thailand.

Istilah “pihak tertinggi” digunakan hakim itu merujuk kepada monarki Thailand.

Minggu lalu ibu bapa mereka, Apiruj dan Wanthanee Suwadee, dipenjara dua setengah tahun kerana menghina raja dan rasuah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:21 AM