Aziman Rosdi


Shah Alam: Penyerang import baru Selangor Francis Forkey Doe memberikan amaran awal skuad Red Giants masih mampu menjadi pencabar kejuaraan biarpun dihimpit pelbagai masalah.

Malah dia yang meledak 15 gol bersama FELDA United dalam saingan Liga Super musim lalu percaya mampu menyumbang lebih banyak jaringan bersama Selangor.

“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana memberi peluang untuk kembali menyertai Selangor. Sasaran saya sudah pasti mahu memenangi trofi untuk Selangor.

“Saya percaya boleh melakukan lebih baik berbanding musim lalu kerana bola sepak dipengaruhi dengan faktor kegembiraan.

“Saya gembira bersama Selangor jadi boleh buat lagi baik dengan pasukan ini,” kata Forkey Doe yang pernah menyarung jersi Red Giants pada 2013.

Pemain Liberia itu menandatangani kontrak setahun bersama Selangor minggu lalu, iaitu pemain import ketiga pasukan selepas Andik Vermansyah dan Ugo Ukah.

Selangor melakukan persiapan agak lewat musim ini akibat masalah kewangan susulan kemelut dalaman Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menyaksikan beberapa tonggak utama meninggalkan pasukan termasuk kapten Shahrom Kalam, Ahmad Hazwan Bakri, R Gopinathan dan Nazmi Faiz Mansor.

Bagaimanapun Forkey Doe yang membantu FELDA United menduduki tangga kedua liga musim lalu percaya skuad kendalian P Maniam masih berpeluang memburu gelaran meskipun berdepan perpindahan besar-besaran pemain.

“Saya sudah menjalani latihan bersama Selangor dan saya dapati jurulatih dan pemain memang hebat. Tidak ada pemain lebih besar daripada pasukan dan jika kami dapat bermain dalam satu pasukan jadi kami boleh pergi jauh,” katanya.

Forkey Doe turut menjelaskan ada menerima tawaran Pulau Pinang dan kelab divisyen dua Turki namun ada sebab dia memilih Selangor.

“Saya mendapat tawaran dari Pulau Pinang dan kelab divisyen dua Turki namun anak-anak saya gembira tinggal di Selangor. Mereka juga bersekolah di Kuala Lumpur jadi mudah untuk saya menguruskannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2017 @ 12:36 PM