NAZRIN Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Klinik Kesihatan (KK) Kuala Kangsar, di sini hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NAZRIN Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Klinik Kesihatan (KK) Kuala Kangsar, di sini hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Lumpur: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Klinik Kesihatan (KK) Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat ke majlis berkenaan.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Bangunan KK Kuala Kangsar dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos keseluruhan RM20.75 juta dan sudah beroperasi sejak 4 Januari 2021.

Sementara itu, Dzulkefly dalam sembah ucapan berkata, KK Kuala Kangsar memainkan peranan penting dalam transformasi penyampaian kesihatan primer.

"Sejak mula operasi terdapat peningkatan iaitu daripada 300 hingga 400 orang sehari pada 2021, meningkat kepada antara 500 hingga 700 pengunjung sehari pada 2023," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata di peringkat pusat, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengikhtiarkan transformasi antaranya sebagai sebuah sistem bersepadu secara menyeluruh; berorientasikan insan; berpusatkan penjagaan primer; serta memacu anjakan daripada pendekatan rawatan (curative) kepada pencegahan dan penggalakan (preventive and promotive).

"Menjamin kesaksamaan dalam mengecapi hak kesihatan adalah tanggungjawab moral yang harus dipikul bersama. Transformasi yang direncana memerlukan Reformasi Pembiayaan Kesihatan yang mampan; bagi mengoptimumkan penggunaan sumber fiskal yang terhad demi menzahirkan natijah kesihatan yang maksimum.

"Selain itu, penggunaan teknologi terkini akan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, bermula dengan rekod perubatan elektronik atau EMR. Namun, ini tidak berhenti kerana pemberdayaan berasaskan revolusi teknologi perlu dijayakan secara berterusan termasuk menerapkan penggunaan teleperubatan dan kecerdasan buatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:20 PM