PEMAIN Selangor giat berlatih.
PEMAIN Selangor giat berlatih.
myMetro

Shah Alam: Biarpun pelbagai kemelut melanda Selangor sebelum Liga-M bermula, pengurus baru Abd Rauf Ahmad tetap yakin Red Giants mampu memburu sekurang-kurangnya satu kejuaraan.

Jelasnya, persiapan rapi sedang dilakukan pengendali P Maniam dalam usaha membentuk skuad lebih mantap termasuk pencarian pemain import keempat selepas mereka menandatangani Francis Forkey Doe sebagai pemain baru.

“Memang pada awalnya kami menyasarkan untuk menduduki kelompok lima terbaik kerana berdepan beberapa masalah sebelum ini. Tapi segala perancangan pasukan kembali di landasan yang betul sekarang.

“Saya percaya Selangor masih mampu mendakap satu piala musim ini. Bagi saya Piala FA yang paling realistik untuk kami dengan hanya tujuh perlawanan perlu diharungi,” katanya ketika ditemui Arena Metro semalam.

Selangor yang juga juara Piala Malaysia 33 kali, berdepan pelbagai kemelut dengan pergeseran dalaman antara Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan Exco Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sehingga menyebabkan mereka gagal mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Rauf berkata, sehingga kini masih belum ada tarikh ditetapkan bagi mesyuarat Exco FAS untuk menyelesaikan masalah itu termasuk tuntutan baki kontrak bekas jurulatih Zainal Abidin Hassan yang dipecat sebelum ini.

Namun beliau percaya, masalah itu bakal dapat diatasi dan Red Giants tidak akan menarik diri di pertengahan liga angkara masalah kewangan.

“Belum ada kata putus mengenai tarikh mesyuarat Exco itu tapi saya percaya pihak pengurusan tertinggi akan cuba menyelesaikan masalah sebaik mungkin. Selangor tetap Selangor, segala masalah akan cuba diatasi demi pasukan dan penyokong.

“Selain perbincangan itu, kami juga sedang berusaha untuk mendapatkan penajaan,” katanya.

Sementara itu, Selangor kini sudah memiliki tiga pemain import dengan bekas pemain Forkey Doe berjaya memikat hati Maniam pada sesi percubaan.

Maniam masih mencari seorang lagi pemain untuk melengkapkan kuota import selepas turut mengekalkan pemain tahun lalu Ugo Ukah dan Andik Vermansyah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:10 AM