SAIFUDDIN Nasution berucap pada majlis penutupan Mesyuarat Agong Respa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SAIFUDDIN Nasution berucap pada majlis penutupan Mesyuarat Agong Respa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kumpulan militan menyasarkan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sasaran utama serangan, atas dasar ideologi yang ditanam pengganas itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kumpulan ini berdiri teguh dengan ideologi yang ekstrem demi menuntut pemerintahan di bawah seorang khalifah.

Beliau berkata, wajar kumpulan itu ditentang kerana akan mengancam ketenteraman awam dan kemungkinan menyasarkan orang kenamaan.

"Wajar difokuskan adalah ideologinya, dalam kefahaman mudah ia kepercayaan menganggap bahawa di dalam pemerintahan kerajaan itu jika tidak tertegak pemerintahan khalifah mewajarkan mereka membuat penentangan.

"Dalam siri penentangan, mereka itu meletakkan polis sebagai sasaran nombor satu untuk mengalahkan kerajaan yang tidak memegang prinsip khalifah. Maka urutan itu dimulai pihak polis, itu ideologinya," katanya pada sidang media di Maktab PDRM, Cheras, di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa).

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Respa Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan cabaran utama dihadapi pasukannya adalah mengesan pelbagai bentuk ideologi yang disebarkan kepada pengikutnya.

"Bila disebut ideologi bukan nampak seperti melihat air mengalir, ia tersebar pelbagai cara.

"Hakikatnya kita berjaya mematahkannya, proses siasatan awal dapati kumpulan ini menyasarkan orang-orang kenamaan pegawai tertinggi polis, itu hasil intipan dan risikan.

"Bagi membendung ideologi ini tersebar, selepas kenal pasti (miliki ideologi) ketika soal siasat, kita mengklasifikasikan ia sebagai ancaman kepada negara," katanya.

Semalam media melaporkan , lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Semua suspek yang berusia antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan bekas pensyarah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 3:21 PM