Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan (NS) Matrix jelas terlalu bergantung kepada Francis Forkey Doe (gambar) berbanding pemain lain apabila pemain import itu menjadi penyumbang utama menggegar gawang lawan ketika aksi persahabatan baru-baru ini.

Forkey Doe menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol ketika diturunkan dalam sembilan aksi dan situasi berkenaan meresahkan Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan menjelang sepak mula Liga Perdana pada 6 Februari.

“Berpandukan kepada aksi persahabatan, setakat ini saya lihat Forkey Doe saja yang tampak menyerlah berbanding pemain lain.

“Saya harap semua pemain NS Matrix dapat menunjukkan prestasi terbaik untuk memastikan kejayaan pasukan sepanjang liga,” katanya.

NS Matrix mengadakan sembilan aksi persahabatan dengan mencatat tujuh kemenangan dan dua seri termasuk tiga perlawanan terakhir iaitu menang 2-0 ke atas Perak dan Terengganu serta seri 2-2 dengan Sarawak.

Forkey Doe, pemain berasal dari Liberia berusia 29 tahun itu tidak menghampakan dalam hampir semua perlawanan sekali gus bakal meletakkan bekas pemain Kelantan dan Selangor itu selaku tonggak utama skuad Hoben Jang Hoben.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, PBNS akan menyalurkan kutipan wang hasil jualan tiket daripada ketiga-tiga perlawanan persahabatan terakhir kepada Tabung Bencana Banjir Pantai Timur.

“Kutipan RM50,000 daripada penjualan tiket dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan iaitu menentang Perak, Terengganu dan Sarawak yang dijadikan perlawanan amal dengan wang berkenaan akan disumbangkan kepada tabung bencana banjir itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 8:06 AM