London: Penyerang Sepanyol, Fernando Torres (gambar) akan menyertai AC Milan secara kekal dari Chelsea pada tahun baru ini, umum kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Berita itu hadir beberapa jam selepas laporan media Sepanyol mendakwa bekas penyerang Liverpool itu akan kembali ke kelab asalnya iaitu Atletico Madrid.

Pemain berusia 30 tahun itu menyertai Milan menerusi pinjaman selama dua tahun bermula musim ini.

Dia memenangi Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala FA sepanjang tiga setengah tahun di Stamford Bridge tetapi gagal menyerlah selepas berhijrah dari Liverpool dengan nilai perpindahan £50 juta (RM271 juta).

Torres akan menyertai Milan secara kekal bermula 5 Januari ini.

Perkembangan itu sekali gus menafikan khabar angin dia akan kembali ke Atletico pada musim perpindahan nanti.

Juara Sepanyol itu menegaskan mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk mendapatkan Torres secara tetap.

Sebaliknya mereka mungkin boleh mendapatkannya secara pinjaman dari Milan sebaik Torres meninggalkan Chelsea.

Akhbar sukan seperti Marca dan El Paris sebelum ini dipetik berkata keputusan untuk membawa Torres ke Atletico adalah kerana pemain Itali, Alessio Cerci bersetuju untuk berpindah ke Milan selepas dipinjamkan di Atletico.

Pemenang Piala Dunia dan juara berganda Euro itu sudah menjaringkan 46 gol dalam 172 penampilan bersama Chelsea tetapi hanya meledak 20 gol sepanjang 110 perlawanan liga bersama Blues.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:10 AM