Madrid: Bos Atletico Madrid, Diego Simeone mengesahkan Fernando Torres (gambar) akan mengetuai serangan apabila pasukannya berdepan Real Madrid pada perlawanan pertama, pusingan kedua Piala Raja Sepanyol, awal pagi esok.

Torres kembali menyertai Atletico dari AC Milan minggu lalu selepas tujuh tahun meninggalkan kelab masa kecilnya, namun terpaksa menonton aksi perlawanan ketika menang 3-1 ke atas Levante hujung minggu lalu dari kerusi penonton kerana jendela perpindahan Itali hanya dibuka Isnin lalu.

“Torres sudah berlatih bersama Milan. Dia beraksi 10 perlawanan di sini, dia berlatih bersama kami selama beberapa hari dan dia akan memulakan perlawanan esok,” kata Simeone.

“Jika saya tidak fikir dia kuat atau mempunyai keupayaan memecah benteng lawan, saya tidak akan mempertaruhkan khidmatnya.

“Dia mempunyai karakter berbeza berbanding pemain dalam skuad dan dia akan mengukuhkan serangan kami.”

Torres mengakui selepas diperkenalkan di depan 45,000 penyokong Atletico Ahad lalu, prospek kembali ke pangkuan kelab asal adalah satu cabaran yang diperlukannya bagi menyemarakkan semula kariernya.

Pemain berusia 30 tahun itu gagal menepati jangkaan berikutan rekod perpindahan British ketika itu £50 juta (RM270 juta) dari Liverpool ke Chelsea pada 2011.

Torres hanya mampu menjaringkan 45 gol dalam 172 perlawanan buat kelab London itu sebelum dipinjamkan ke Milan yang mana dia hanya menyumbat satu gol dalam 10 perlawanan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:40 AM