ARIAS (kiri) dari PSV ke Atletico menggantikan rsaljko yang dipinjamkan ke Inter Milan. FOTO/AGENSI
ARIAS (kiri) dari PSV ke Atletico menggantikan rsaljko yang dipinjamkan ke Inter Milan. FOTO/AGENSI
Reuters

MADRID: Atletico Madrid mengikat pertahanan kanan Colombia, Santiago Arias dari kelab juara Belanda, PSV Eindhoven untuk menggantikan pemain Croatia, Sime Vrsaljko yang dipinjamkan ke Inter Milan.

“Atletico Madrid dan PSV Eindhoven bersetuju dengan perjanjian untuk membawa Santiago Arias ke kelab kami. Pertahanan kanan itu menjadi pemain baru Atletico selepas menandatangani kontrak bagi lima musim berikutnya,” menurut satu kenyataan kelab La Liga itu, semalam.

Arias, 26, menyertai PSV pada 2013 selepas dua tahun beraksi dengan Sporting Lisbon di Portugal dan memenangi kejuaraan Eredivisie sebanyak tiga kali, dinobat Pemain Terbaik Tahunan liga pada musim terakhirnya. Dia bermula dalam semua empat perlawanan Colombia pada Piala Dunia 2018.

Perjanjian Arias diumumkan serentak dengan perjanjian pinjaman bersama Inter bagi pertahanan kanan Vrsaljko, yang turut cemerlang di Russia, bermula dalam enam daripada tujuh perlawanan Croatia dalam laluan mereka ke final Piala Dunia, apabila mereka tumpas 2-4 kepada Perancis.

“Kelab kami mencapai kata persetujuan bersama Inter Milan, bergantung kepada ujian perubatan dan dokumen, bagi meminjamkan Sime Vrsaljko,” menurut satu kenyataan berasingan Atletico.

“Selepas dua musim beraksi dengan kelab kami, yang mana dia mempamerkan bakat dan semangat juangnya, kami mahu mengucapkan selamat berjaya buatnya dalam era baru bersama Inter, yang mempunyai pilihan untuk membeli pemain itu.”

Juara Liga Europa, Atletico bermain aksi pramusim di Singapura dan akan menentang musuh setempat Real Madrid bagi merebut Piala Super Eropah di ibu negara Estonia, Tallinn pada 15 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 11:56 AM