CESAR Azpilicueta sah sertai Atletico. FOTO Agensi
CESAR Azpilicueta sah sertai Atletico. FOTO Agensi
AFP

London: Tempoh 11 tahun Cesar Azpilicueta di Chelsea berakhir selepas pemain pertahanan Sepanyol itu pulang ke tanah air untuk menyertai Atletico Madrid.

Azpilicueta membuat 508 penampilan untuk The Blues dan memenangi sembilan trofi, termasuk Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.

"Cesar meninggalkan legasi di Chelsea, sebagai seorang pahlawan, sebagai juara dan sebagai legenda Chelsea yang setia.

"Dia mencipta standard di kelab ini selama lebih satu dekad dan mempamerkan kepada setiap orang apa yang diperlukan hari demi hari untuk meraih kejayaan," kata pengerusi Chelsea, Todd Boehly dan pemilik bersama, Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.

Azpilicueta yang memenangi gelaran Liga Perdana ketika di bawah bimbingan Jose Mourinho dan kemudian Antonio Conte, menjadi kegemaran penyokong kerana etika kerja dan kesanggupannya diletakkan di posisi berbeza.

Bagaimanapun, musim terakhirnya di Stamford Bridge adalah musim yang sukar selepas Chelsea menduduki tempat ke-12 dalam Liga Perdana sekali gus kedudukan terendah mereka sejak 1994.

"Sukar untuk meluahkan dengan kata-kata apa yang saya rasai ketika ini. Ia sangat luar biasa. Terima kasih kepada semua pihak kerana ia tidak mungkin berlaku tanpa bantuan orang sekeliling," kata Azpilicueta dalam video yang disiarkan di akaun media sosial Chelsea.

Pemain berusia 33 tahun itu, yang menyertai Chelsea dari Marseille dan memulakan kariernya bersama Osasuna, menandatangani kontrak setahun bersama kelab Sepanyol, Atletico.

"Cesar Azpilicueta ialah pemain baharu Atletico Madrid selepas persetujuan dicapai antara kelab dan pemain dari Navarra itu yang akan menandatangani kontrak selama setahun," kata Atletico dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 7:31 AM