POCHETTINO (tengah) berjaya membentuk keyakinan pemain Spurs di tahap tertinggi. FOTO/AFP
POCHETTINO (tengah) berjaya membentuk keyakinan pemain Spurs di tahap tertinggi. FOTO/AFP
Agensi

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino mendakwa jika skuad kendaliannya menjulang trofi Liga Perdana musim ini, ia adalah pencapaian lebih besar berbanding dilakukan Atletico Madrid ketika menjuarai La Liga pada 2014.

Spurs ketika ini dianggap sebagai pencabar tulen kejuaraan elit liga Inggeris musim ini dengan skuad bimbingan pengurus dari Argentina itu menghuni tangga kedua liga dan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool selepas 19 perlawanan.

Kemenangan besar ke atas Everton (6-2) dan Bournemouth (5-0) untuk mencatatkan enam kemenangan berturut-turut melonjakkan Tottenham setaraf dengan Liverpool dan penyandang juara, Manchester City.

Tottenham yang tidak membeli sebarang pemain pada perpindahan Ogos lalu sebelum ini dilihat sebagai calon bukan pilihan berbanding Reds dan City tetapi pencapaian mereka mencetus perbandingan dengan skuad kendalian Diego Simeone, Atletico.

Atletico terus bersaing sengit dengan dua gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid bagi pemburuan gelaran La Liga tetapi Pochettino menegaskan Spurs yang beroperasi dengan bajet lebih kecil tidak boleh dijadikan perbandingan.

“Sukar untuk mencari satu lagi kelab yang sama atau, menjalankan kerja yang sama seperti kami, falsafah yang digunakan,” kata Pochettino. “Setiap kelab adalah istimewa dan berbeza.

“Saya berfikir mengenai perkara ini sebelum ini. Simeone adalah pengurus yang menerima gaji tertinggi di Sepanyol. Gajinya lebih besar berbanding pengurus Real, pengurus Barcelona, Sevilla dan Valencia.

“Pelaburan Atletico untuk pemain lebih besar berbanding kami. Ia kurang, tetapi hampir dengan bajet Real dan Barcelona. Mereka mengekalkan pemain seperti Antoine Griezmann dan kemudian menandatangani Diego Costa.

“Saya fikir bajet Atletico lebih besar berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana. Ia mungkin lima kali lebih besar berbanding bajet yang kami miliki. Ia lebih kepada Real atau Barcelona. Langsung tidak seperti Tottenham. Atletico adalah seperti City dan Liverpool.” - AGENSI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:14 PM