AKAUN Facebook palsu yang diwujudkan individu tertentu untuk kepentingan peribadi. - FOTO Amyra Rosli
AKAUN Facebook palsu yang diwujudkan individu tertentu untuk kepentingan peribadi. - FOTO Amyra Rosli
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Amyra Rosli meminta peminat dan pengikutnya di laman sosial supaya tidak terpedaya dengan akaun Facebook palsu yang menggunakan nama ‘Amyra Rosli Dan Amar Baharin’

Amyra, 25, meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak terbabit kerana sewenang-wenang menggunakan nama dia dan suaminya Amar Baharin bagi kepentingan peribadi dengan menawarkan telefon pintar jenama iPhone.

"Sebelum ini banyak juga akaun palsu menggunakan nama kami, tapi kali ini saya perlu bertegas kerana pihak itu menawarkan telefon bimbit. Bukan apa saya bimbang sekiranya wujud penipuan menerusi kempen yang dijalankan. Saya tak nak disebabkan perkara itu nama saya dan Amar busuk.

"Sebelum ia berlarutan, lebih baik saya mengambil tindakan dengan memuat naik dan menghebahkannya di semua laman sosial milik saya. Sekurang-kurangnya peminat boleh tahu itu bukan akaun rasmi kami. Saya kasihan kepada yang mempercayai perkara itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amyra, dia tidak berhubung langsung dengan pengendali akaun itu kerana tidak mahu wujud sebarang komunikasi antara mereka.

"Tak guna juga kalau saya mencari individu itu kerana saya takut wujud kes lain pula. Cara paling mudah saya juga membuat laporan terus ke pihak Facebook.

"Saya berharap pihak terbabit membaca mengenai perkara ini. Kalau dia seorang yang bertanggungjawab dia akan memadam atau membuang terus akaun itu," katanya.

Amyra berkata, buat masa sekarang dia belum terfikir untuk membuat laporan polis kerana perkara itu belum sampai tahap teruk.

Terdahulu, Amyra memuat naik paparan skrin akaun Facebook palsu yang menggunakan nama mereka bagi kempen 'like' dan menang bagi mendapatkan iPhone secara percuma.

Menerusi akaun itu juga dinyatakan Amyra dan Amar ingin memberikan telefon pintar kepada peminat yang menekan butang 'like' dan 'following' pada akaun itu.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 5:19 PM