PELAKON, Amyra Rosli. FOTO Khairul Azhar Ahmad
PELAKON, Amyra Rosli. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman


NAMA Amyra Rosli, 27, meninggalkan bekas mendalam terhadap peminat menerusi lakonannya dalam drama Nur.

Lakonannya dalam drama itu membawa tuah yang bukan sedikit buatnya apabila diangkat sebagai pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian di Anugerah Skrin 2018 (ASK2018).

Melangkah ke 2019, Amyra bakal kembali ke lokasi penggambaran musim kedua Nur bulan ini.

Namun, ketika ini nama Amyra menonjol dengan drama Kan Ku Kejar Cinta Kamu bergandingan dengan Fendy Bakry yang kini ditayangkan.

Amyra berkata, dia berpuas hati dengan lakonannya sebagai Alma Hakim yang berkahwin senyap-senyap dengan Raiyan (Fendi) ketika sama-sama belajar di luar negara.

Amyra berkata, dia perlu berhati-hati untuk berlakon kerana bimbang boleh melukakan hati suami tercinta yang juga pelakon Amar Baharin selain menjaga status sebagai isteri dan ibu.

PELAKON, Amyra Rosli bersama suami, pelakon, Amar Baharin. FOTO Khairul Azhar Ahmad
PELAKON, Amyra Rosli bersama suami, pelakon, Amar Baharin. FOTO Khairul Azhar Ahmad

“Saya masih melakonkan watak baik dalam cerita itu tapi dalam konteks yang berbeza. Ikutkan drama itu sebenarnya menggambarkan kehidupan suami isteri.

“Kalau kami tak ketengahkan suasana intim, lain pula jadinya. Untuk itu, awal-awal lagi saya minta kebenaran Amar untuk berlakon.

“Apabila di lokasi penggambaran, saya bercakap dengan pengarah Yusry Abdul Halim tak boleh buat apa-apa yang keterlaluan,” katanya.

Ibu kepada Aqeef Anaqi yang kini berusia setahun berkata, Yusry akur dengan permintaannya tetapi memintanya melakukan watak yang dikira ringan.

“Abang Yusry minta saya melakukan babak memeluk Fendy bagi menampakkan kami sebagai suami isteri.

“Saya kena buat tapi bukanlah peluk erat-erat dan sekadar pegang bahu. Saya dah bagi apa yang boleh. Lagipun, saya tak nak pasangan pelakon saya rasa bosan manakala pengarah pula rasa susah bekerja dengan saya,” katanya.

Menurut Amyra, dia masih memberi apa yang diminta tetapi dalam caranya yang tersendiri.

“Dalam drama itu pun ada babak yang memerlukan saya menari salsa dengan Fendy. Kami kena berinteraksi. Saya minta kebenaran Amar dan dia faham. Mungkin sebelum ini orang nampak saya dalam drama Nur dan dalam Kan Kukejar Cinta Kamu lain pula.

“Saya nak menjayakan dengan had tertentu. Ikutkan cerita sebenar drama ini memang ‘daring’ tapi dengan keizinan suami saya boleh buat watak itu dengan baik,” katanya.

Menurut Amyra, dia beruntung kerana peminat tidak mengecamnya dan jika itu berlaku, dia tidak mahu mempedulikannya.

“Mereka nampak saya baik dalam Nur tapi tak nak mereka nampak lakonan saya sama saja setiap masa.

“Sekali-sekala saya nak juga bawa watak lain atau antagonis. Mungkin orang tak tahu situasi sebenar pembikinan sesebuah drama.

“Kita ada teknik kamera yang menampakkan babak itu seakan-akan realistik.

Ada babak dalam bilik air yang nak tunjukkan tangan saya sedang mandi tapi sebenarnya dijayakan kru lelaki. Begitu juga babak kaki dalam selimut yang dilakonkan oleh kru,” katanya.

Bercakap mengenai Nur musim kedua, Amyra yang baru habis bercuti menyambut tahun baru di London mengakui belum mempunyai gambaran sebenar mengenai wataknya.

“Persiapan dari segi lakonan memang saya buat sendiri. Untuk skrip pula, saya hanya baru dapat lima episod awal.

“Apa yang boleh dikatakan, Nur kali ini ada perbezaannya dan menarik untuk diikuti oleh penonton. Saya teruja dengan penampilan watak baru bertujuan menguatkan lagi cerita ini,” katanya.

Seperti artis lain, Amyra turut mengambil peluang daripada populariti yang diraih dengan menceburi bidang perniagaan apabila melancarkan produk minuman kesihatan yang diberi nama Juzfit.

“Saya buat apa yang saya amalkan dan tujuannya untuk berkongsi kebaikan dengan orang lain.

“Perniagaan ini juga sebagai satu jaminan untuk masa depan. Tak selamanya saya akan berada di atas dan perlu bersedia awal.

“Sekiranya terjadi apa-apa, sekurang-kurangnya saya masih bekerja mencari rezeki untuk anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 6:00 AM