Norhayati Nordin


DIKALA segelintir selebriti popular tanah air berlumba-lumba membawa anak kecil mereka bercuti ke luar negara, hal itu tidak menjadi prinsip pelakon jelita, Amyra Rosli, 27.

Amyra mengakui dia dan suami, Amar Baharin, 33, tidak bercadang membawa anak mereka, Aqeef Anaqi yang kini berusia empat bulan bercuti ke luar negara kerana masih bayi.

Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli berkata, anaknya masih kecil dan belum sesuai dibawa menaiki kapal terbang semata-mata untuk pergi bercuti.

"Saya dan Amar sudah sepakat hanya membawa anak kami bercuti dalam negara saja ketika masih bayi ini.

"Setakat ini, Aqeef Anaqi sudah pun dibawa bercuti oleh kami dan keluarga ke beberapa negeri dalam Malaysia. Cuma, tidaklah menaiki kapal terbang.

"Apapun, syukur dia tidak meragam dan mudah dijaga. Hanya perlu pastikan dia cukup tidur dan menyusu saja," katanya.

Amyra berkata, dia dan Amar mungkin bercadang percutian ke luar negara bersama Aqeef Anaqi apabila si kecil itu sudah berusia lebih setahun.

"Sebenarnya, saya mahu membawa Aqeef Anaqi bercuti di Bangkok baru-baru ini, tetapi Amar kata tidak sesuai.

"Mujur juga saya tidak membawanya kerana keadaan cuaca yang kurang baik," katanya.

Amyra berkata sebagai ibu bapa baru yang kurang pengalaman, dia dan Amar lebih selesa mengambil pendekatan berhati-hati dan pencegahan awal.

Katanya, bayi yang masih kecil memerlukan penjagaan teliti kerana mudah terdedah dengan gangguan kesihatan jika dijaga sambil lewa.

"Saya yakin sampai masanya pasti kami tiga beranak dapat juga bercuti ke luar negara.

"Ketika itu, Aqeef Anaqi sudah besar sedikit dan mudah dijaga. Kami pun tiada masalah hendak membawa dia berjalan ke mana-mana," katanya.

Amyra yang bertemu jodoh dengan Amar, bernikah pada 11 November 2016 dan Aqeef Anaqi pula dilahirkan 15 Oktober tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 10:25 AM