AMYRA dan Amar sering berdua jika ke mana-mana. - FOTO Arkib NSTP
AMYRA dan Amar sering berdua jika ke mana-mana. - FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Pelakon Amyra Rosli tidak kisah jika ramai yang beranggapan Amar Baharin sebagai suami kuat cemburu kerana sering mengikut ke mana saja acara membabitkan Amyra.

Amyra berkata, sebagai isteri pastinya dia mahu suami sentiasa berada di sisi apatah lagi dalam soal kerjaya.

Baginya, apa yang dilakukan Amar adalah sebagai menyokong apa juga yang dia lakukan.

"Saya tidak peduli jika ada pihak yang menuduh Amar kuat cemburu atau apa saja. Lagipun dia bukan setiap masa bersama saya.

"Jika ada kelapangan Amar memang akan ke mana-mana bersama saya. Begitu juga saya yang akan ikut Amar menghadiri mana-mana majlis jika ada masa terluang," katanya.

Amyra berkata, dia tiada hak menghalang orang untuk berkata apa-apa saja.

"Saya anggap tindakan Amar itu sebagai suami yang menyokong isteri dan sentiasa bersama isteri dalam apa juga keadaan. Saya akui Amar seorang yang sangat 'supportive' dan saya selesa jika dia menemani saya ke mana-mana walaupun dalam masa sama ibu turut menemani saya," katanya.

Pasangan ini berkahwin pada November lalu dan kini masing-masing mula sibuk dengan aktiviti seni.

"Kami bakal sibuk di lokasi penggambaran tidak lama lagi. Ada juga tawaran filem saya terima namun belum dapat diputuskan lagi bagaimana.

"Apabila sudah berkahwin, pasti ada yang berharap kami kembali berlakon bersama namun saya tidak berharap begitu," katanya.

Amyra berkata, selain bimbang peminat bosan dia juga enggan dituduh hanya mahu berlakon dengan suami saja.

"Andai kami ditakdirkan berlakon bersama biarlah watak itu berbeza daripada yang pernah kami terima sebelum ini.

"Seboleh-bolehnya, saya elak berlakon watak sebagai pasangan suami dan isteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 4:24 PM