Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak dan pengacara Harith Iskander layak mara ke peringkat separuh akhir pertandingan Funniest Person in the World yang akan berlangsung di Helsinki, Finland, 5 Disember ini.

Harith ketika dihubungi memaklumkan dia akan berentap dengan 19 peserta yang mewakili negara masing-masing.

“Alhamdulillah, bulan lalu saya dimaklumkan terpilih ke separuh akhir pertandingan ini. Saya akan bertolak ke Finland pada 1 Disember ini dan membuat persiapan akhir di sana,” katanya.

Harith turut menjelaskan dia ditaja Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

“Terima kasih Tourism Malaysia serta Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan yang sudi menaja tiket penerbangan dan penginapan saya di Finland nanti,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan beraksi di pentas komedi bertaraf dunia itu, Harith berkata dia mengkaji kemampuan peserta lain dan mencari material sesuai untuk penonton di sana.

“Kumpulan Facebook untuk peserta diwujudkan dan menjadi tempat kami saling beriteraksi. Daripada situ saya dapat melihat bakat dan kelebihan mereka.

“Pada masa sama, saya turut mencari material dan idea yang boleh menghiburkan 400 penonton pada acara itu nanti,” katanya.

Pemarkahan peringkat separuh akhir Funniest Person in the World itu menyaksikan 50 peratus berdasarkan undian online manakala 50 peratus lagi penilaian juri.

Orang ramai boleh mengundi Harith di www.voteforharith.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 6:59 PM