Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon popular Harith Iskander mencipta sejarah apabila berjaya menempatkan diri dalam kalangan 20 pelawak terbaik dunia apabila layak ke peringkat separuh akhir Laugh Factory Funniest Person in the World (LFFPW) pada 4 Disember ini.

http://indi.com/7t8vv

Harith, 50, ketika dihubungi berkata, dia yakin dapat melayakkan diri ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Finland pada 9 Disember depan di mana hanya lima peserta akan bertanding.

Daripada 86 pelawak dari seluruh dunia yang bertanding, Harith satu-satunya wakil Malaysia yang layak ke peringkat separuh akhir.

“Saya yakin peluang ke akhir amat cerah memandangkan saya memiliki bahan yang kuat. Lagipun, sudah 26 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini dan pengalaman menjadi senjata utama saya.

“Saya pernah membuat persembahan di banyak pentas antarabangsa dan ia memudahkan saya untuk menyampaikan topik yang mudah penonton luar negara faham. Apapun, saya tetap akan mengekalkan identiti saya sebagai anak Malaysia dalam setiap persembahan,” katanya.

Harith berkata, dia mengharapkan rakyat negara ini memberikan sokongan dengan mengundinya di peringkat separuh akhir nanti.

Markah untuk peringkat itu adalah 50 peratus berdasarkan penilaian dan selebihnya hasil undian dalam talian. Orang ramai boleh mengundi menerusi laman web www.voteforharith.com bagi membolehkan dia mendapat kedudukan terbaik di peringkat separuh akhir nanti.

Ditanya mengenai persediaannya, Harith berkata, dia kini berada dalam keadaan yang terbaik dan paling penting mendapat sokongan pelbagai pihak terutamanya daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 7:40 PM