HARITH Iskander. FOTO arkib NSTP
HARITH Iskander. FOTO arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon, Harith Iskander terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan komedi ‘Laugh Factory’s Funniest People In The World’ yang turut disertai pelawak dari 55 negara di seluruh dunia.

Harith, 50, ketika dihubungi berkata, dia cukup teruja kerana ini adalah pentas pertandingan terbesar yang disertainya sepanjang 26 tahun bergelar pelawak.

“Syarikat yang terbabit dalam ‘stand up comedy’. Life Factory dari Amerika Syarikat menghubungi saya dua bulan lalu dan meminta saya mencuba nasib dalam pertandingan itu.

“Saya pun menghantar video persembahan dan beberapa hari lalu, mereka memaklumkan saya terpilih dan akan bertanding untuk peringkat pertama menerusi online,” katanya.

Harith berkata, bagi peringkat pertama, semua peserta dari 55 negara bertanding menerusi undian secara online dan undian penonton dibuka bermula 2 September lalu hingga 2 Oktober ini.

“Bagi peringkat pertama, undian penonton boleh dibuat dari seluruh dunia. Dari situ, penganjur akan membawa 20 peserta dengan jumlah undian tertinggi ke peringkat seterusnya,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya untuk pertandingan bertaraf dunia ini, Harith menyimpan cita-cita untuk membawa industri komedi tanah air ke peringkat lebih tinggi.

“Tentunya saya mengharapkan yang terbaik kerana saya bukan sahaja membawa nama sendiri, tetapi juga nama negara.

“Saya ada menonton video-video persembahan peserta dari negara-negara lain dan rasanya, dengan pengalaman saya selama 26 tahun ini, saya yakin ada harapan untuk saya ke peringkat akhir,” katanya.

Peringkat akhir pertandingan ini akan berlangsung di Helsinki, Finland pada Disember ini.

Sehingga kini, undian untuk video persembahan Harith sudah mencecah lebih 600,000.

Selain Harith, seorang lagi pelawak yang mewakili Malaysia ialah Jason Leong yang tidak kurang hebat dengan komedinya.

Juara ‘Laugh Factory’s Funniest People In The World’ akan menerima hadiah wang tunai bernilai AS$100,000 (RM407,805) dan siri jelajah di seluruh Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 4:46 PM