DIMINTA penganjur ke Amerika Syarikat sebanyak 10 kali untuk mengambil wang kemenangan secara berperingkat. FOTO - NSTP.
DIMINTA penganjur ke Amerika Syarikat sebanyak 10 kali untuk mengambil wang kemenangan secara berperingkat. FOTO - NSTP.
Najiy Jefri


PELAWAK Harith Iskander memfailkan saman terhadap penganjur The Laugh Factory yang gagal melunaskan baki wang kemenangan berjumlah USD70,000 (RM280,000) daripada USD100,000 (RM400,000) selepas menjuarai pertandingan Funniest Person In The World pada Disember 2016.

Harith ketika dihubungi berkata, setakat dia hanya menerima bayaran sebanyak USD30,995 (RM123,820) saja.

Menurutnya, selepas menjuarai pertandingan itu, penganjur memberikan syarat iaitu dia perlu ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) sebanyak 10 kali untuk menerima bayaran kemenangan secara berperingkat.

Bagaimanapun, sepanjang pertemuan sebanyak empat kali, dia hanya dibayar dua kali saja.

“Ketika menjuarai pertandingan itu, saya menerima sejumlah wang. Kemudian pada pertemuan pertama dan kedua bayaran masih berlangsung.

"Bagaimanapun, pada pertemuan ketiga dan keempat, saya tidak menerima bayaran seperti dijanjikan. Saya merujuk perkara ini kepada peguam saya di California untuk tindakan susulan. Selepas tiada maklum balas diberikan penganjur, peguam saya memberi nasihat untuk saya menyaman penganjur ini," katanya.

Menerusi pertandingan yang diadakan di Polo Arena, Levi, Finland itu, Harith menewaskan 89 pelawak dari 56 buah negara seluruh dunia.

Funniest Person in the World adalah pertandingan anjuran Laugh Factory iaitu sebuah rangkaian lawak global berpangkalan di Amerika Syarikat.

Menurut Harith, dia tidak kecewa kerana menyertai pertandingan itu tetapi perasaan sedih itu terbit apabila memikirkan masa, tenaga, wang dan usaha untuk mengambil wang baki kemenangan itu.

"Untuk mengambil baki bayaran, saya perlu berada di sana sekurang-kurangnya tujuh hari kerana jarak perjalanannya yang jauh. Kemudian saya juga perlu menggunakan wang poket sendiri untuk segala keperluan hingga terpaksa menolak beberapa tawaran kerja di Malaysia serta meninggalkan keluarga untuk beberapa hari. Itu yang mengecewakan saya,' katanya.

Harith berkata, apa yang berlaku ini tidak memberi kesan kepadanya untuk meletakkan nama Malaysia dalam peta dunia komedi.

"Apa yang berlaku ini hanya membabitkan sebuah syarikat dan bukan melambangkan standard antarabangsa. Sepanjang empat kali ke Amerika Syarikat, saya berpeluang mengenali ramai pelawak tersohor dan kelab lawak.

"Ini satu pengalaman baru untuk saya tempuh. Diharapkan semuanya berjalan dengan lancar. Terima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 4:55 PM