PENUNJUK perasaan berhimpun di dataran Gwanghwamun di tengah Seoul ketika mengadakan demonstrasi mendesak presiden negara itu meletak jawatan, semalam.  - AFP
PENUNJUK perasaan berhimpun di dataran Gwanghwamun di tengah Seoul ketika mengadakan demonstrasi mendesak presiden negara itu meletak jawatan, semalam. - AFP
Agensi

Seoul: Ribuan rakyat Korea Selatan menunjuk perasaan di sini semalam untuk menggesa Presiden Park Geun-Hye meletak jawatan berkait dengan skandal rasuah.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan dan mengusung sepanduk mendesak Park meletak jawatan, sehari selepas dia memohon maaf di televisyen berhubung dakwaan itu yang menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap kepemimpinannya.

Kira-kira 20,000 anggota polis dikerah mengawal demonstrasi yang dianggarkan disertai kira-kira 40,000 orang itu.

Polis mengharamkan penunjuk perasaan berarak di jalan raya dengan alasan ia akan menyesakkan lalu lintas di bandar itu.

Bagaimanapun, persediaan sudah dilakukan untuk berdepan penunjuk perasaan yang dikatakan berusaha untuk berarak ke Istana Biru, kediaman rasmi dan pejabat presiden.

Dalam ucapannya menerusi televisyen kelmarin, Park berkata, skandal berkenaan yang membabitkan Choi Soon-Sil, rakan yang sudah sekian lama dipercayainya, adalah kesalahannya sendiri.

Dia bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengaitkan dia dan Choi dengan satu ajaran sesat.

Populariti Park merudum hingga lima peratus minggu ini, yang terendah pernah dicatatkan oleh seorang Presiden Korea Selatan yang masih berkhidmat.

“Saya berpendapat dia perlu meletak jawatan kerana moral dia sebagai presiden sudah tidak ada lagi,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 53 tahun, Anh.

Siasatan rasmi ditumpukan pada dakwaan bahawa Choi, 60, menggunakan hubungan rapatnya dengan Park untuk mempengaruhi syarikat tempatan mendermakan sejumlah besar wang kepada yayasan sukarela sebelum digunakan untuk kepentingan peribadinya.

Choi ditangkap secara rasmi Khamis lalu atas tuduhan menipu dan salah guna kuasa. Namun, kemarahan orang ramai sebahagian besarnya tertumpu pada dakwaan dia mencampuri urusan negara dan mempunyai akses kepada dokumen rahsia walaupun tidak mempunyai kedudukan rasmi dalam kerajaan.

Media Korea Selatan menggambarkan Choi yang bapanya pemimpin sebuah ajaran agama dan mentor penting kepada Park sebagai tokoh seperti Rasputin yang mempunyai pengaruh tidak sihat terhadap presiden.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2016 @ 5:21 AM