PARK
PARK
AP

Seoul: Pendakwa raya Korea Selatan semalam mendakwa bekas Presiden Park Geun-hye atas tuduhan rasuah berprofil tinggi membabitkan pelbagai tuduhan salah guna kuasa, peras ugut, rasuah dan membocorkan rahsia negara yang berkemungkinan menyebabkan dia dipenjara seumur hidup.

Ia satu lagi tahap dalam kejatuhan Park, 65, yang secara rasmi dilucutkan daripada jawatan presiden pada Mac lalu dan diletakkan dalam pusat tahanan berhampiran Seoul sejak ditangkap bulan lalu atas tuduhan bersubahat dengan rakan baiknya, Choi Soon-sil untuk memeras wang daripada beberapa syarikat, selain salah laku lain.

Perbicaraannya dijangka berlanjutan sehingga enam bulan dan dia akan ditahan di penjara sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada perbicaraan berkenaan akan bermula sebelum pilihan raya khas pada 9 Mei untuk menentukan penggantinya.

Sementara itu, turut didakwa, Pengerusi Lotte Group - konglomerat perniagaan kelima terbesar Korea Selatan - Shin Dong-bin, atas tuduhan menawarkan rasuah 7 billion won (RM27 juta) kepada Park dan Choi sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen kerajaan bagi membuka kedai bebas cukai baharu.

Presiden wanita pertama Korea Selatan itu kini berdepan hukuman penjara dari 10 tahun sehingga seumur hidup.

Skandal yang menyelubungi Park itu mencetuskan kemelut politik besar di negara itu dengan jutaan rakyatnya berhimpun selama beberapa bulan mendesak perletakan jawatannya yang turut dibalas tunjuk perasaan bagi pihaknya oleh penyokongnya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 8:09 AM