ANGGOTA keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan himpunan berdekatan Istana Presiden. FOTO  EPA.
ANGGOTA keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan himpunan berdekatan Istana Presiden. FOTO EPA.
Agensi

Colombo: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dari kediaman rasminya di ibu negara, hari ini.

Sumber pertahanan memberitahu AFP perkembangan itu, sebelum rakaman televisyen menunjukkan penunjuk perasaan menyerbu pekarangan kediaman, mendesak pemimpin itu meletak jawatan.

"Presiden telah diiring ke tempat selamat," kata sumber itu, sambil menambah bahawa tentera melepaskan tembakan ke udara untuk menghalang orang ramai daripada menceroboh Istana Presiden.

Terdahulu, Reuters melaporkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan bagi mengawal ribuan mereka yang berkumpul dalam himpunan antikerajaan yang antara terbesar diadakan sejak krisis awal tahun.

Orang ramai memenuhi bas, kereta api dan trak dari seluruh negara itu untuk memasuki pusat bandar, menyatakan kemarahan mereka terhadap kegagalan kerajaan menjaga kebajikan daripada kesan ekonomi.

Kira-kira 22 juta rakyat Sri Lanka bergelut di bawah kekurangan pertukaran asing yang mengehadkan import barang keperluan penting seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan, hingga menjerumuskan negara itu dalam kegawatan kewangan terburuk bagi tempoh tujuh dekad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 4:03 PM