Sebahagian jemaah haji yang menunaikan rukun melontar jamrah. - FOTO AFP
Sebahagian jemaah haji yang menunaikan rukun melontar jamrah. - FOTO AFP
AFP

Mina: Jemaah haji melakukan rukun melontar jamrah pada Ahad ketika sebahagian umat Islam menyambut hari raya Aidil Adha.

Bermula pada waktu subuh, 1.8 juta umat Islam yang menunaikan ibadah haji tahun ini membaling tujuh batu ke arah setiap tiga tembok konkrit yang melambangkan syaitan di lembah Mina, yang terletak di luar Makkah.

Upacara melontar itu telah menjadi saksi kepada pelbagai rempuhan selama bertahun-tahun, yang terbaru pada 2015 apabila sehingga 2,300 jemaah terbunuh dalam bencana haji yang paling teruk.

Tapak itu telah ditambah baik sejak itu untuk menyelaraskan pergerakan orang ramai.

Jalan-jalan menuju ke tembok konkrit itu bagaimanapun padat awal Ahad, dengan beberapa jemaah kelihatan bergelut di bawah matahari pagi.

Ada yang duduk di tepi jalan untuk berehat dan minum air, manakala yang lain terbaring di atas tanah kerana keletihan.

Pada Sabtu, suhu mencecah 46 darjah Celsius di Arafah.

Satu pusat rawatan di kawasan itu merekodkan 225 kes tekanan haba dan keletihan, lapor agensi berita Arab Saudi.

Tahun lalu lebih 10,000 kes penyakit berkaitan haba didokumenkan pada musim haji, dengan 10 peratus daripadanya adalah strok haba, kata jurucakap kementerian kesihatan kepada AFP.

"Ia sangat, sangat panas," Rohy Daiseca, seorang warga Gambia berusia 60 tahun yang tinggal di Amerika Syarikat, memberitahu AFP pada malam Sabtu ketika jemaah haji mengutip batu untuk dibaling.

"Alhamdulillah, saya meletakkan banyak air di kepala saya dan ia OK."

Jumlah jemaah haji pada tahun ini mencecah 1.8 juta, sama seperti tahun lalu dan pihak berkuasa Arab Saudi berkata bahawa 1.6 juta daripada mereka datang dari luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 4:20 PM